Selasa, 21 November 2017 | 4:58pm
KETUA Polis Daerah Klang Selatan, ACP Shamsul Amar Ramli (dua dari kiri) menunjukkan 27 ribu pil jenis Eramin 5 seberat 8 kilogram dengan nilai RM500,00.00 yang dirampas oleh pihaknya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang, Selatan. - Foto Muhammad Sulaiman

Taktik 2 sahabat simpan dadah di rumah terbongkar

KLANG: Dua sahabat dikesan menjadikan rumah mereka di Jalan Tepi Sungai di sini, untuk menyimpan ribuan pil dadah sintetik jenis Ectasy dan Eramin 5, dipercayai sejak sebulan lalu.

Bagaimanapun, kegiatan mereka berjaya dikesan pihak berkuasa yang membawa kepada serbuan di dua kediaman berasingan di kawasan sama, pada Khamis minggu lalu.

Difahamkan, dua rumah teres dua tingkat yang terletak pada jarak 100 meter antara keduanya dipercayai masing-masing dimiliki suspek yang berusia 31 dan 34 tahun dan dikatakan bertindak sebagai 'runner' untuk mengedar dadah berkenaan di pusat hiburan di sekitar daerah ini dan Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan menjalankan dua serbuan berasingan bermula jam 1.30 pagi hingga 3 pagi.

SEBAHAGIAN daripda 27 ribu pil jenis Eramin 5 seberat 8 kilogram dengan nilai RM500,00.00 yang dirampas oleh anggota polis dan dibawa ke sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang, Selatan. - Foto Muhammad Sulaiman

Katanya, dua suspek lelaki warga tempatan yang masih bujang itu ditahan hasil maklumat dan risikan pihaknya.

"Dalam operasi membabitkan dua rumah berasingan itu, kita memberkas mereka yang kemudian turut membawa kepada rampasan sebanyak 27,000 pil Eramin 5 seberat lapan kilogram (kg) dan 2,900 pil Ectasy (satu kg).

"Selain pil yang dianggarkan RM500,000 itu, sebuah kereta Toyota Vois dan sejumlah wang disita untuk tindakan lanjut," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, hari ini.

Shamsul Amar berkata, siasatan awal pihaknya mendapati bekalan dadah itu diperoleh dari kawasan lain sebelum disimpan di kediaman terbabit dan diedarkan di pasaran tempatan.

"Kami tidak menolak kemungkinan dua suspek itu pakar dalam aktiviti pengedaran dan pil berkenaan dijual antara RM15 hingga RM30 sebiji.

"Namun, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengenal pasti pembabitan individu lain dan punca utama bekalan bahan itu," katanya.

Beliau berkata, setakat ini, rampasan pada minggu lalu antara rampasan narkotik terbesar pihaknya.

Katanya, suspek yang juga positif dadah itu ditahan reman sehingga 23 November bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Berita Harian X