Selasa, 21 November 2017 | 8:11pm

Beranak dalam tandas kompleks beli-belah

PENAMPANG: Seorang ibu terkejut apabila anak perempuannya berusia 15 tahun yang berada lama dalam tandas, rupa-rupanya melahirkan bayi sendirian.

Dalam kejadian di dalam tandas di tingkat dua sebuah kompleks beli-belah, di sini, semalam, ibu remaja terbabit masuk ke dalam tandas untuk melakukan pemeriksaan selepas anaknya tidak keluar selama kira-kira sejam.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan, Rosley Hobden berkata siasatan awal mendapati ketika kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, mangsa bersama ibu bapa serta adiknya berjalan-jalan di kompleks berkenaan.

"Remaja perempuan itu mengatakan sakit perut dan datang haid lalu meminta izin ke tandas. 

"Selepas hampir sejam, dia tidak keluar lalu ibunya mencari dan terkejut apabila mendapati remaja itu sedang memegang bayi perempuan dalam keadaan berlumuran darah," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini. 

Rosley berkata, ibu bapa mangsa kemudian bergegas menghantar mangsa ke Hospital Queen Elizabeth (QEH) Kota Kinabalu untuk mendapatkan rawatan.

"Siasatan mendapati remaja itu mempunyai teman lelaki lima bulan lalu dan sudah berpisah dan polis kini giat mengesan lelaki berusia 17 tahun terbabit untuk membantu siasatan," katanya.

Rosley berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Berita Harian X