Khamis, 23 November 2017 | 5:33pm

3 polis ditahan kes samun

KUALA LUMPUR: Tiga anggota polis serta setiausaha politik kepada seorang ahli politik dan aktivis pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terkenal, ditahan bagi membantu siasatan berhubung satu kes samun ke atas seorang ejen insurans di Rawang, dekat sini, 12 November lalu.

Dalam kejadian kira-kira 2 petang itu, mangsa sedang berada dalam premis perniagaannya di Batu 17 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh ketika didatangi tiga lelaki yang memperkenalkan diri sebagai anggota polis.

Mangsa yang berusia 51 tahun diberitahu kononnya polis mahu menjalankan siasatan ke atasnya susulan satu aduan yang diterima mengenai syarikatnya.

Sumber berkata, dua suspek kemudian mengarahkan mangsa menunjukkan kad pengenalan serta wang tunai yang disimpan di pejabatnya, manakala seorang lagi suspek menunggu di luar.

"Mangsa akur dan menyerahkan kad pengenalan serta wang tunai kira-kira RM4,000 kepada suspek untuk diperiksa.

"Suspek kemudian mengarahkan mangsa mengikut mereka ke balai polis dan ketika dia masuk semula ke pejabat untuk mengambil beg, semua suspek melarikan diri bersama kad pengenalan, telefon bimbit serta wang tunai RM4,000 milik mangsa dengan menaiki sebuah kereta," kata sumber.

Susulan itu, mangsa membuat laporan polis dan hasil siasatan, polis berjaya menahan empat suspek menerusi beberapa tangkapan berasingan sehingga semalam.

Tiga anggota polis yang ditahan terdiri daripada pegawai polis berpangkat Inspektor dan dua anggota polis berpangkat Koperal, dua daripadanya bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, manakala seorang lagi di IPD Gombak.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Beliau berkata, semua suspek berusia antara 30 tahun dan 34 tahun itu kini direman bagi membantu siasatan.

"Tempoh reman anggota polis IPD Gombak yang berakhir semalam disambung sehingga Ahad ini, manakala dua anggota IPD Dang Wangi terbabit direman selama empat hari sehingga Sabtu ini.

"Seorang lagi suspek disambung reman lima hari bermula hari ini sehingga Isnin depan," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan iaitu samun berkumpulan.

Berita Harian X