Ahad, 26 November 2017 | 6:32pm
DUA penunggang dan seorang pembonceng motosikal maut dalam dua kemalangan berasingan di Kilometer 352 dan Kilometer 351 Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu, di sini, malam tadi. - Foto ihsan PDRM

3 remaja maut kemalangan motosikal

RAUB: Dua penunggang dan seorang pembonceng motosikal maut dalam dua kemalangan berasingan di Kilometer 352 dan Kilometer 351 Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu, di sini, malam tadi.   

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, kemalangan pertama berlaku kira-kira jam 10.30 malam di kilometer 352, berhampiran Hassan Bistro, dekat sini. 

"Dalam kemalangan ini, mangsa, Chin Hao Yik, 14, yang menetap di Taman Sungai Klau maut selepas motosikal jenis HONDA EX5 dinaikinya merempuh bahagian belakang sebuah lori yang diletakkan di bahu jalan.

"Akibat rempuhan itu, mangsa yang juga pelajar Tingkatan Dua di sekolah di bandar ini cedera parah pada bahagian kepala.

"Pemilik lori berkenaan masih belum tampil membuat laporan berhubung kejadian itu," katanya ketika dihubungi, di sini, sebentar tadi. 

Wan Mohd Zahari berkata, kemalangan kedua pula berlaku di kilometer 351, Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu, kira-kira jam 2 pagi tadi. 

"Penunggang motosikal, S Arunraj dan pembonceng, B Arivarasa, yang masing-masing berusia 17 tahun maut dalam kemalangan  berhampiran Kilang Papan Arah Asia, dekat sini. 

"Siasatan awal mendapati, motosikal dinaiki mangsa dipercayai terbabas dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah kereta," katanya. 

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. 

23 dibaca
Berita Harian X