Selasa, 28 November 2017 | 4:47pm
DATUK Fadilah Baharin.
DATUK Fadilah Baharin.

Standard Malaysia lapor polis, SKMM kerana difitnah

CYBERJAYA: Jabatan Standard Malaysia (Standards Malaysia) semalam, membuat laporan kepada polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung fitnah rasuah terhadapnya dalam artikel yang disiarkan Sabahkini2.com, kelmarin.

Ketua Pengarahnya, Datuk Fadilah Baharin, menggesa siasatan segera dan tindakan tegas diambil berhubung artikel bertajuk 'Nyawa penumpang MRT dan LRT dalam bahaya! Skandal Rasuah Ketua Pengarah JSM MOSTI didedahkan', yang turut memfitnahnya secara peribadi itu.

"Saya menafikan dakwaan rasuah untuk meluluskan permohonan akreditasi Makmal I-Lab Testing; Research Centre, Hercules Engineering (SEA) Sdn Bhd.

"Proses akreditasi Standards Malaysia adalah telus dan perlu melalui empat peringkat penilaian berdasarkan standard antarabangsa ISO/IEC 17011:2004.

"Makmal berkenaan memohon akreditasi daripada Standards Malaysia pada 8 Mei 2017 dan proses penilaian yang dijalankan bagi makmal ini adalah sama seperti makmal-makmal lain yang sudah diakreditasi di bawah Skim Akreditasi Makmal Malaysia (SAMM)," katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.

Fadilah menjelaskan, pada 15 Julai lalu beliau meluluskan akreditasi makmal I-Lab Testing; Research Centre kerana laporan akreditasi menunjukkan makmal berkenaan sudah berjaya memenuhi semua kriteria teknikal yang ditetapkan dalam MS ISO/IEC 17025 dan atas saranan panel pakar bebas, bukannya keputusan individu.

"Polis sudah berjumpa saya semalam untuk mendapatkan maklumat lanjut dan saya harap mereka dapat menyiasat serta menyelesaikan kes ini dengan secepat mungkin demi menjaga nama baik saya, integriti Jabatan Standard Malaysia dan kerajaan.

"Selain itu, pihak jabatan juga akan memfailkan saman fitnah terhadap penulis dan sesawang terbabit kerana merosakkan reputasi diri saya sebagai seorang penjawat awam berintegriti dan menimbulkan rasa tidak puas hati terhadap jentera kerajaan," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X