Khamis, 30 November 2017 | 3:21pm
PEGAWAI JKM Baling, Shamsul Izrin Ishak (dua dari kiri) melihat tempat bayi dijumpai dibuang berdekatan rumah penduduk di Kampung Bendang Sera. - Foto Safuri Kamarudin

Tangisan bayi berbungkus plastik hitam

BALING: Seorang bayi lelaki yang disahkan baru lahir ditemui ditinggalkan dalam keadaan berbungkus dengan plastik hitam, berhampiran rumah seorang penduduk di Kampung Bendang Sera, dekat sini.

Bayi itu ditemui seorang wanita kira-kira jam 2.30 pagi tadi selepas dikatakan terdengar tangisan mencurigakan di luar rumahnya, lalu keluar menyiasat menemui bayi malang itu.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shariffuddin Yusuf, mengesahkan penemuan bayi lelaki berkenaan yang kemudian dibawa wanita berkenaan ke Hospital Baling untuk tujuan pemeriksaan.

"Bayi itu ditemui masih hidup dan kini sihat dalam penjagaan pihak hospital. Polis sedang menyiasat lanjut kes berkenaan," katanya.

PEGAWAI JKM Baling. Shamsul Izrin Ishak melawat bayi yang ditemui dibuang berdekatan rumah penduduk di Kampung Bendang Sera Baling. - Foto Safuri Kamarudin

Sementara itu, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Baling, Shamsul Izrin Isahak berkata, pihaknya akan mendapat Perintah Hak Penjagaan Sementara mengikut Seksyen 25(2)(A) Akta Kanak Kanak 2001 (Pindaan 2016) daripada Mahkamah Seksyen Baling.

"Berdasarkan prosedur bayi berusia sehari itu akan dijaga selama 30 hari selepas urusan perubatan oleh Hospital Baling, sebelum ditempatkan ke Rumah Kanak Kanak Taman Bakti Kepala Batas bagi memberi perlindungan sewajarnya," katanya.

Berita Harian X