Ahad, 3 Disember 2017 | 11:55pm
MAYAT mangsa yang ditemui maut selepas cuba mengambil umpan tiruan kesayangan yang tersangkut dalam sawah padi sebelum terkena renjatan elektrik di Kampung Bukit Temalong, Gunung, petang tadi.

Pemancing maut kena renjatan elektrik

BACHOK: Hasrat pemancing mahu mengambil umpan tiruan kesayangan yang tersangkut dalam sawah padi berakhir tragedi apabila dia maut terkena renjatan elektrik di Kampung Bukit Temalong, Gunung, petang tadi.

Dalam kejadian jam 4.30 petang tadi, mangsa, Muhammad Sarwan Mohd Sabri, 22, ditemui maut dalam sawah yang dipenuhi air sedalam 0.3 meter.

Pegawai Bomba Kanan II Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Ibrahim Mohd Rohni, berkata mangsa dipercayai ke sawah padi itu seorang diri kerana mahu mengambil umpan tiruan kesayangannya yang terlekat di kabel elektrik.

Katanya, hasil maklumat keluarga, sebelum kejadian mangsa pulang ke rumah dan mengambil galah untuk menarik umpannya yang terlekat.

"Difahamkan mangsa sangat menyayangi umpan tiruannya yang berjasa kerana memperolehi banyak ikan ketika dia pergi memancing," katanya ketika dihubungi.

Bagaimanapun, katanya, ketika sedang berusaha mengambil umpan tiruan itu, malang menimpa mangsa apabila terkena renjatan elektrik.

"Kehilangan mangsa disedari keluarga kira-kira jam 3.30 petang selepas tidak pulang ke rumah sebelum mayat mangsa ditemui ahli keluarga di dalam sawah berkenaan petang tadi.

"Bomba yang mendapat panggilan bergegas ke lokasi dan mendapat kerjasama pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk memeriksa arus elektrik.

"Selepas dikesan tiada aliran elektrik oleh pihak TNB, bomba mengambil mayat mangsa dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Nik Aminuddin Raja Abdullah, yang mengesahkan laporan itu berkata, jenazah dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu untuk bedah siasat.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Berita Harian X