Jumaat, 8 Disember 2017 | 3:27pm

Empat pelajar IPTS ditahan edar dadah 

[email protected]

KAJANG: Kajang: Empat penuntut institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) menjadi antara 12 suspek ditahan polis kerana terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah pada serbuan di lima lokasi berasingan di sekitar Selangor, awal bulan ini.

Pada serbuan di sekitar Kajang, Semenyih dan Beranang bermula 2 hingga 5 Disember lalu, polis merampas 4.9 kilogram ganja dianggarkan bernilai RM12,000.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Dzaffir Mohd Yussof, berkata semua suspek berusia antara 20 hingga 26 tahun itu membabitkan empat pelajar tahun akhir sebuah IPTS.

"Kami menahan tiga lelaki di depan sebuah hotel di Beranang dalam serbuan pertama pada jam 11.20 malam dan menemui ketulan daun kering dipercayai dadah jenis ganja sebanyak 36.6 gram yang disembunyikan dalam beg.

"Semua suspek ditahan reman empat hari sehingga Rabu lalu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, di sini, hari ini.

Katanya, susulan penahan tiga suspek pertama berkenaan, pihaknya melakukan serbuan kedua pada jam 10 malam Isnin lalu.

"Dalam serbuan ini, kita menahan seorang lelaki dan merampas dua ketulan mampat daun kering disyaki ganja seberat 43.8 gram.

"Suspek terbabit direman sejak Selasa lalu hingga hari ini," katanya.

Pada Selasa lalu pula, empat serbuan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kajang di Semenyih dan Taman Unipark Suria dan menahan dua lelaki serta merampas ketulan mampat ganja seberat 16.9 gram.

"Penahanan suspek itu membawa polis ke sebuah rumah dan menemui dua ketulan mampat daun kering dipercayai ganja serta 12 paket plastik lut sinar berisi dadah," katanya.

Dzaffir berkata, polis turut menahan enam suspek termasuk seorang wanita di sebuah rumah di lokasi berkenaan.

"Kita menjumpai 21 paket plastik lut sinar mengandungi dadah dan satu ketulan mampat dadah ditemui dalam kereta suspek.

Suspek yang membawa polis ke sebuah kereta di tempat letak kenderaan berhampiran rumah itu kemudian menemui satu ketulan mampat dadah jenis ganja," katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati semua suspek mempunyai rangkaian antara satu sama lain dan bergiat aktif sejak setahun lalu.

"Semua suspek didapati positif dadah dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

 

 

 

 

 

Berita Harian X