Jumaat, 8 Disember 2017 | 4:41pm
SEORANG lelaki warga asing maut dipercayai tertembak diri sendiri di Kampung Lepan Anjung, Dabong.

Senapang patah 'makan' tuan

KUALA KRAI: Seorang lelaki warga asing maut, dipercayai tertembak diri sendiri dalam kejadian di tepi jalan di Kampung Lepan Anjung, Dabong, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, mangsa berusia 20-an ditemui orang awam dalam keadaan terbaring bersama sebuah motosikal jenis Honda Wave serta sepucuk senapang patah.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Abdullah Roning, berkata hasil siasatan awal mendapati mangsa dipercayai tertembak diri sendiri dengan senapang patah jenis Winchester buatan Kanada ketika menunggang motosikal untuk turun dari bukit.

Beliau berkata, ketika kejadian, senapang patah yang dibawa mangsa dipercayai meletup selepas terjatuh dan terkena leher sebelah kiri mangsa, menyebabkan motosikal ditunggangnya terbalik.

"Hasil pemeriksaan, polis menemui satu beg hitam mengandungi lima butir peluru hidup, selain terdapat tiga lagi peluru, termasuk satu kelongsong warna merah dalam poket seluar kanan mangsa.

"Kita mendapati ada kesan lubang pada leher sebelah kiri mangsa, dipercayai kesan tembakan. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Krai untuk bedah siasat.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960," katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Sementara itu, seorang saksi kejadian, Mohd Zuhaili Zubir, 27, berkata beliau yang dalam perjalanan dari Gua Musang ke Rantau Panjang, menemui sebuah motosikal terbalik di tepi jalan bersama mayat mangsa berlumuran darah.

"Saya memberhentikan kenderaan dan dimaklumkan seorang pemandu lori yang sudah berada di situ lebih awal, bahawa terdapat seorang lelaki maut ditembak.

"Memandangkan lokasi kejadian tidak mempunyai isyarat talian, saya meneruskan perjalanan sehingga mendapat isyarat untuk menghubungi polis," katanya.

Berita Harian X