Jumaat, 8 Disember 2017 | 8:32pm
DUA penunggang motosikal maut di tempat kejadian selepas motosikal yang ditunggang bergesel dengan sebuah lori di Jalan Bukit Changgang menghala ke Nilai. - Foto Ihsan PDRM

Dua remaja maut digilis lori

SEPANG: Dua remaja maut digilis selepas motosikal yang mereka naiki bergesel dengan sebuah lori di Jalan Nilai-Salak Tinggi-Bukit Canggang, di sini jam 12.25 tengah hari tadi.

Kedua-dua mangsa dikatakan dari susur Pekan Salak Tinggi dan keluar ke jalan besar menghala ke arah Nilai.

Apabila tiba di tempat kejadian, mangsa dikatakan masuk secara melulu ke laluan utama dan bergesel dengan bahagian kiri sebuah lori sebelum jatuh dan digilis tayar belakang lori terbabit.

Penunggang dan pembonceng motosikal maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali, yang mengesahkan kejadian itu berkata polis menerima laporan jam 12.30 tengah hari.

Katanya, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Putrajaya dan waris masing-masing sudah membuat pengecaman.

"Penunggang berumur 16 tahun dan pembonceng 14 tahun, kedua-duanya berketurunan India serta berasal dari Nilai, Negeri Sembilan," katanya.

Siasatan di lokasi kejadian mendapati cuaca baik, jalan menghala ke Nilai mempunyai dua lorong dan keadaan jalan sedikit bercerun, tambahnya.

Abdul Aziz berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

18 dibaca
Berita Harian X