Jumaat, 8 Disember 2017 | 10:08pm

Maut motosikal rempuh lori

KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh belakang sebuah lori di Kilometer 3, Jalan Tuaran, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 10.05 pagi itu, mangsa, Cristey Canny Dungul, 20, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan kaki, manakala pemandu lori berusia 40 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra, berkata ketika kejadian, lori barang jenis rigid Isuzu itu datang dari arah Kolombong menuju ke Indah Court, Likas, manakala mangsa dari arah pusat bandar raya ke Likas.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, pemandu lori secara tiba-tiba membuat pusingan U tanpa menyedari kehadiran mangsa.

"Ia menyebabkan mangsa merempuh bahagian belakang sebelah kiri lori berkenaan," katanya, di sini, hari ini.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (QEH) untuk tindakan lanjut.

Chandra berkata, pemandu lori terbabit akan direman bagi membantu siasatan kes kemalangan itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X