Isnin, 11 Disember 2017 | 12:39am
ANGGOTA polis mengangkat mayat Muhammad Alif Asyraf Sebdil (gambar kecil, kiri) dan Muhammad Danial Syukur Yusri (gambar kecil, kanan) yang maut selepas motosikal yang dinaiki secara melawan arus dirempuh sebuah kereta di Lebuh raya Kuala Perlis-Changlun, di sini, jam 8.30 malam tadi.- Foto Hafizudin Mohd Safar
ANGGOTA polis mengangkat mayat Muhammad Alif Asyraf Sebdil (gambar kecil, kiri) dan Muhammad Danial Syukur Yusri (gambar kecil, kanan) yang maut selepas motosikal yang dinaiki secara melawan arus dirempuh sebuah kereta di Lebuh raya Kuala Perlis-Changlun, di sini, jam 8.30 malam tadi.- Foto Hafizudin Mohd Safar

`Adik ditutupi kain putih'

KANGAR: Dua remaja maut selepas motosikal yang dinaiki secara melawan arus dirempuh sebuah kereta di Lebuh raya Kuala Perlis-Changlun, di sini, jam 8.30 malam tadi.

Muhammad Alif Asyraf Sebdil, 16 dan rakannya, Muhammad Danial Syukur Yusri, 13, kedua-duanya berasal dari Sungai Berembang, Kuala Perlis, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.

Difahamkan, motosikal yang dinaiki mereka keluar dari arah Utan Aji selepas mengisi minyak di stesen minyak Utan Aji masuk ke Lebuh Raya Kuala Perlis - Changlun dalam keadaan melawan arus.

Bagaimanapun, kira-kira satu kilometer dari susur keluar berkenaan, motosikal mangsa dirempuh sebuah kereta jenis Honda City dari arah Kuala Perlis menghala ke Changlun.

Akibat rempuhan itu, kedua-dua mangsa tercampak ke bahu jalan, manakala kereta yang dipandu seorang lelaki berusia lingkungan 30-an terhumban ke parit berhampiran.

Sementara itu, kakak Muhammad Danial Syukur, yang enggan dikenali berusia 14 tahun ketika ditemui berkata, adiknya keluar dari rumah sejak petang untuk bersiar-siar bersama rakannya di Arau.

"Ketika kejadian saya di Kuala Perlis bersama rakan dan mengetahui kejadian itu selepas rakan lain menelefon memaklumkan adik terbabit dalam kemalangan.

"Sejurus sampai, saya lihat adik sudah ditutupi kain putih," katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Perlis, Deputi Superintendan Rusli Yahaya, ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X