Rabu, 20 Disember 2017 | 4:23pm
TERTUDUH (kanan) dipenjara 16 tahun dan 12 sebatan atas kesalahan meliwat anak saudara perempuannya yang berusia 11 tahun, tahun lalu. - Foto Zaman Huri Isa

Bapa saudara durjana

KOTA BHARU: Seorang pembantu operasi hospital dipenjara 40 tahun dan dikenakan 27 sebatan kerana merogol dan meliwat dua anak saudaranya.

Hari ini, Mahkamah Sesyen, di sini, menjatuhkan hukuman penjara 16 tahun dan 12 sebatan terhadap lelaki berusia 32 tahun itu atas kesalahan meliwat anak saudara perempuannya yang berusia 11 tahun, tahun lalu.

Hakim Nazri Ismail menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Pada November lalu, mahkamah sama menjatuhkan hukuman penjara 24 tahun dan 15 sebatan terhadap tertuduh, atas kesalahan merogol seorang lagi anak saudaranya berusia 15 tahun, yang juga kakak kepada mangsa liwat itu.

Mahkamah memerintahkan hukuman terhadap kedua-dua hukuman itu berjalan secara berasingan.

Dalam pertuduhan hari ini, tertuduh didakwa meliwat mangsa berusia 11 tahun dua bulan di sebuah rumah di Jalan Bayam, Kota Bharu, jam 9 malam, pada Februari hingga Mei 2016.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377 C Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon hukuman ringan berjalan serentak dengan kesnya sebelum ini.

"Saya sudah insaf selain perlu menyara ibu berusia 60 tahun," katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Hajar Alias memohon hukuman berat terhadap tertuduh dengan mengambil kira kepentingan awam dan kesalahan jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

"Mangsa yang kematian bapa kandung menganggap tertuduh seperti bapa sendiri, namun tertuduh mengambil kesempatan terhadap kanak-kanak ini.

"Oleh itu, pihak pendakwaan memohon hukuman berat berjalan secara berasingan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang ramai," katanya.

Berita Harian X