Sabtu, 23 Disember 2017 | 10:07am
PEGAWAI dan anggota polis trafik memeriksa lori yang membawa muatan berlebihan dan mengabaikan aspek keselamatan ketika Operasi Kenderaan Perdagangan di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands. - Foto Abdullah Yusof
PEGAWAI dan anggota polis trafik memeriksa lori yang membawa muatan berlebihan dan mengabaikan aspek keselamatan ketika Operasi Kenderaan Perdagangan di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands. - Foto Abdullah Yusof
TIMBALAN Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kontinjen Perak, DSP Kamarulzaman Jusoh (kanan) memeriksa lori yang dibawa ke Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak selepas mengabaikan aspek keselamatan dalam Operasi Kenderaan Perdagangan di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands. - Foto Abdullah Yusof

46 saman dalam 6 jam

IPOH: Sebanyak 46 saman dikeluarkan terhadap pelbagai jenis kenderaan dalam operasi sekitar bandar raya ini, bermula petang semalam hingga malam tadi.

Sebuah lori juga ditahan kerana dipercayai menggunakan permit kenderaan palsu dalam operasi enam jam itu.

Operasi bermula jam 3 petang membabitkan pelbagai agensi penguatkuasaan iaitu Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kontinjen Perak, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK). 

Ketua JSPT negeri, Deputi Superintendan Kamarulzaman Jusoh, berkata saman dikeluarkan membabitkan 11 lori, 24 kereta, lapan motosikal, dua van dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV). 

Katanya, antara kesalahan dikesan adalah memandu melebihi had laju, membawa muatan berlebihan, tidak memiliki lesen memandu dan melanggar lampu isyarat merah.  

Beliau berkata, sebuah lori yang membawa muatan batu pula dipercayai menggunakan permit kenderaan palsu, selain membawa muatan berlebihan. 

"Permit yang dikeluarkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bagi kenderaan berkenaan adalah untuk berat dengan muatan (BDM) sebanyak 51,000 kilogram (kg), namun lori berkenaan mempamerkan permit BDM 56,000 kg yang dipercayai palsu. 

"Lori yang dipandu lelaki berusia 26 tahun itu dibawa ke JPJ Ipoh untuk disiasat mengikut Seksyen 57 (b) (vi) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 .

"Kita masih menunggu syarikat kenderaan itu membawa permit asal lori terbabit," katanya pada sidang media, malam tadi.

Kamarulzaman berkata, tiga daripada 11 pemandu lori yang diperiksa untuk ujian air kencing didapati positif dadah. 

"Seorang lelaki positif dadah jenis syabu, manakala dua lagi positif ganja. Ketiga-tiga mereka berusia antara 25 tahun dan 29 tahun," katanya. 

33 dibaca
Berita Harian X