Sabtu, 23 Disember 2017 | 7:48pm
LONGGOKAN balak yang ditebang secara haram di Sungai Mina. - Foto ihsan SFC
LONGGOKAN balak yang ditebang secara haram di Sungai Mina. - Foto ihsan SFC

SFC, PPM rampas lebih 4,000 balak haram

BINTULU : Operasi bersepadu yang dilaksanakan Sarawak Forestry Corporation (SFC) bersama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5 berjaya merampas balak haram dianggarkan bernilai lebih RM700,000 Selasa lalu.

Operasi menerusi Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang turut disertai anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tatau itu dijalankan sejak Isnin lalu hingga hari ini di kawasan Tatau.

Komander PPM Wilayah 5, Asisten Komisioner Salehuddin Mat Zaman, berkata hasil risikan dan rondaan sepanjang operasi berkenaan, pihaknya menemui kawasan pengumpulan balak di Sungai Mina, pada jam 3.45 petang, Selasa lalu.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati semua 4,232 batang balak pelbagai jenis dan saiz itu tidak memiliki cop rasmi iaitu tanda tukul royalti dan tukul hak milik Jabatan Hutan Sarawak (JHS).

"Ini jelas menunjukkan balak berkenaan ditebang secara haram dan menyalahi Ordinan Perhutanan Sarawak 2015," katanya dalam kenyataan hari ini.

Salehuddin bagaimanapun berkata, ketika serbuan tiada pekerja berada di lokasi pengumpulan balak haram itu.

Sehubungan itu katanya, kes berkenaan diserahkan kepada JHS untuk siasatan lanjut bagi mengesan pemilik balak berkenaan.

Berita Harian X