Ahad, 24 Disember 2017 | 1:56pm
KESAN lebam pada perut dan belakang bayi berusia 10 bulan disyaki akibat didera. - Foto ihsan PDRM

Dera bayi: Pasangan kekasih ditahan

 

KAJANG: Seorang lelaki yang tampil membuat laporan berkenaan kes dera bayi berusia 10 bulan kelmarin, ditahan polis semalam bagi membantu siasatan.

 

Turut ditahan bersama suspek berusia 25 tahun itu adalah kekasihnya yang juga ibu kepada bayi terbabit.

 

Pasangan itu yang tiada ikatan perkahwinan ditahan dalam dua tangkapan berasingan di Kajang dan Ampang.

 

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Dzaffir Mohd Yussof, berkata lelaki berkenaan membuat laporan selepas doktor menemui kesan lebam di belakang badan dan perut bayi disyaki didera.

 

"siasatan awal dapati mangsa adalah anak keempat wanita berkenaan bersama bekas suami. Mangsa tinggal dengan pasangan kekasih itu.

"Sehari sebelum laporan dibuat, mangsa dihantar ke rumah pengasuh oleh ibunya pada jam 7 pagi dan diambil semula jam 2.30 petang.

 

"Kemudian pada jam 7 malam, ibu mangsa menelefon suspek mengatakan mangsa muntah dan ada kesan darah di lampin dan terus dibawa ke hospital untuk rawatan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Dzaffir berkata, pemeriksaan lanjut pada mangsa turut menemui beberapa kesan penderaan yang lain.

 

"Terdapat kesan lebam di perut, belakang, telinga dan kepala mangsa, selain pendarahan di kemaluan mangsa.

 

"Mangsa dan dua orang lagi adik beradiknya kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL)," katanya.

 

Semakan menunjukkan kedua-dua suspek ada rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah.

 

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Berita Harian X