Ahad, 24 Disember 2017 | 7:15pm
MANGSA maut di tempat kejadian.
KAKI dan tangan mangsa putus akibat merempuh kereta di Jalan Pelabuhan Barat.

Penunggang motosikal maut putus tangan, kaki

KLANG: Seorang penunggang motosikal maut dalam keadaan mengerikan apabila kaki dan pergelangan tangan kirinya putus selepas merempuh sebuah kereta dalam kejadian di Jalan Pelabuhan Barat (Pandamaran-Shah Alam), Klang, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, dalam kejadian jam 6.10 pagi itu, mangsa, P Praveen Raj, 24, yang menunggang Modenas Kriss meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata, mangsa turut mengalami kecederaan teruk di kepala manakala pemandu kereta berusia 24 tahun bersama tiga penumpang lain tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Ketika kejadian, kereta itu dalam perjalanan dari Bukit Tabur menghala ke Bandar Botanik 2. Motosikal ditunggang mangsa yang dipercayai keluar dari susur Klang-Banting merempuh bahagian kiri kereta itu.

"Rempuhan itu mengakibatkan kaki kiri dan pergelangan tangan kiri mangsa terputus," katanya.

Shamsul Amar berkata, mayat mangsa yang berasal dari Taman Sentosa, Klang itu dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk bedah siasat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan Raya (APJ) 1987," katanya yang meminta saksi kejadian tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan.

Berita Harian X