Ahad, 24 Disember 2017 | 8:25pm

Warga emas ditemui lemas

BINTULU: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki di Sungai Kebalat, Sebauh, di sini, yang memasuki hari ketiga hari ini berakhir dengan penemuan mayat warga emas terbabit, petang tadi.

Mayat Melaka Bakat, 71, ditemui pada jam 2.40 petang di jarak kira-kira tiga kilometer dari lokasi dia dipercayai terjatuh Khamis lalu.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak (JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, mayat ditemui terapung di sungai berkenaan oleh anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Sebauh yang menyertai SAR sejak Jumaat lalu.

"Mayat mangsa sudah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya sambil memaklumkan pihaknya menerima maklumat kehilangan lelaki warga emas itu pada jam 9.30 malam, Khamis lalu.

Kehilangan mangsa disedari keluarganya apabila dia tidak balik seperti biasa selepas menjala ikan di Sungai Kebalat pada petang Khamis.

Sementara itu, di Kota Samarahan, operasi SAR seorang kanak-kanak di Kampung Melayu, yang masuk hari ke-10 hari ini dihentikan selepas tiada sebarang petunjuk baharu ditemui untuk mengesan mangsa.

Mangsa, Aifan Haraman, 6, dilaporkan terjatuh ke dalam sungai ketika cuba mengambil selipar di jeti Kampung Melayu kira-kira jam 4 petang, 15 Disember lalu.

Ling Hii berkata, operasi SAR kanak-kanak berkenaan ditamatkan secara rasmi pada jam 5.30 petang tadi.

"Perbincangan dijalankan dengan semua pihak yang terbabit iaitu polis serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan dipersetujui oleh ahli keluarga mangsa agar operasi dihentikan selepas 10 hari dijalankan.

"Operasi SAR pada hari terakhir ini meliputi kawasan pencarian sehingga 16 kilometer hingga ke Loba Batu Belat," katanya sambil memaklumkan operasi akan diaktifkan semula jika ada petunjuk baharu.

Berita Harian X