Selasa, 26 Disember 2017 | 11:24am
SEORANG penunggang motosikal maut digilis treler selepas terjatuh ketika cuba mengelak lubang jalan di Kilometer 96 Jalan Batu Pahat-Mersing, berhampiran Kampung Sri Lukut, Batu 27, Kahang, Kluang, awal pagi tadi. - Foto ihsan polis
KEADAAN motosikal mangsa yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 96 Jalan Batu Pahat-Mersing, berhampiran Kampung Sri Lukut, Batu 27, Kahang, Kluang, awal pagi tadi. - Foto ihsan polis
KEADAAN lubang jalan di Kilometer 96 Jalan Batu Pahat-Mersing, berhampiran Kampung Sri Lukut, Batu 27, Kahang, Kluang, awal pagi tadi. - Foto ihsan polis

Penunggang motosikal elak lubang maut digilis treler

KLUANG: Seorang penunggang motosikal maut digilis treler selepas terjatuh ketika cuba mengelak lubang jalan di Kilometer 96 Jalan Batu Pahat-Mersing, berhampiran Kampung Sri Lukut, Batu 27, Kahang, dekat sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 5.30 pagi, Samsudin Sibon, 49, dari Kampung Lukut maut di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohamad Laham, berkata ketika kejadian mangsa dalam perjalanan dari Kampung Lukut ke Pekan Kahang.

"Siasatan awal mendapati, kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa terjatuh dari motosikal ditungganginya selepas cuba mengelak jalan berlubang di lokasi kejadian.

"Pada masa sama datang sebuah treler dari arah Kuantan ke Kluang cuba mengelak ke kanan selepas ternampak mangsa lalu memberhentikan kenderaan berkenaan di bahu jalan bagi membuat pemeriksaan sebelum mendapati mangsa sudah digilis dan terseret treler yang dipandunya.

"Laluan berkenaan yang sempit menyebabkan mangsa tetap digilis walaupun treler berkenaan cuba mengelak mangsa yang terbaring di jalan," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Mohamad berkata, siasatan di lokasi kejadian mendapati permukaan jalan berlubang dan basah selepas hujan manakala kawasan sekitar gelap kerana tiada lampu jalan.

Katanya, pemandu treler tidak cedera dan kes disiasat mengikut Sek 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

19 dibaca
Berita Harian X