Selasa, 26 Disember 2017 | 12:01pm
AHMAD Dzaffir Mohd Yussof (dua dari kiri) menunjukkan kesan penderaan seorang remaja wanita berusia 13 tahun di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, hari ini.

Penjaga pusat kesihatan dituduh dera remaja

KAJANG: Polis menahan seorang penjaga pusat rawatan kesihatan di Semenyih, di sini selepas dipercayai mendera seorang remaja berusia 13 tahun yang berada di bawah jagaannya.

Suspek berusia 41 tahun itu ditahan semalam pada jam 5.30 petang di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang ketika hadir memberi keterangan.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof, berkata keterangan suspek diambil selepas pihaknya menerima laporan daripada wakil sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Jumaat lalu.

"Laporan dibuat selepas mangsa menceritakan mengenai penderaan yang dialami kepada seorang pelanggannya ketika sesi urut selepas bersalin.

"Pelanggan itu kemudian memaklumkan kejadian berkenaan kepada wakil NGO yang kemudian tampil membuat laporan.

"Mangsa mengalami kesan lecur di bahagian lengan, badan dan mulut. Mangsa juga mendakwa dipukul dengan senduk panas, dicekik dan ditumbuk.

"Dia kini sedang menerima rawatan di Hospital Selayang," katanya dalam sidang media di IPD Kajang, hari ini.

Ahmad Dzaffir berkata, mangsa adalah anak kedua daripada lapan adik beradik.

"Dia dihantar ke pusat rawatan kesihatan itu oleh ibu bapanya sejak April lalu akibat kesempitan hidup.

"Kita juga akan mengambil keterangan daripada pemilik pusat rawatan kesihatan berusia 54 tahun itu sebaik dia selesai menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur kerana komplikasi jantung.

"Selain daripada didera, mangsa juga dipercayai turut dirogol oleh salah seorang pelanggannya di Sri Petaling, Mei lalu," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

Berita Harian X