Selasa, 26 Disember 2017 | 5:48pm
KETUA Polis Daerah Kajang ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yussof. - Foto BERNAMA

Bayi rosak buah pinggang akibat dihempas, ditumbuk

KAJANG: Penderaan dialaminya termasuk dihempas ke lantai dan ditumbuk oleh teman lelaki ibunya, menyebabkan seorang bayi perempuan berusia 10 bulan di sini, mengalami kerosakan buah pinggang.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff, berkata pemeriksaan doktor terhadap bayi berkenaan mendapati buah pinggang mangsa gagal berfungsi akibat penderaan yang dialaminya selama ini.

"Hasil soal siasat terhadap suspek berusia 25 tahun yang sudah ditahan, dia mengaku menghempas mangsa ke lantai, menggigit telinga dan menumbuk bayi terbabit akibat tidak tahan dengan tangisan mangsa.

"Kita dapati suspek berbohong ketika tampil membuat laporan, yang memaklumkan mangsa dan dua lagi anak teman wanitanya masing-masing berusia lima dan tiga tahun dijaga pengasuh," katanya.

Ahmad Dzaffir berkata, pemeriksaan perubatan terhadap dua adik-beradik mangsa juga menemui kesan deraan yang lama.

"Siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengambil keterangan ibu mangsa, sama ada dia turut terbabit dengan kejadian itu," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Kelmarin, BH melaporkan sepasang kekasih ditahan pada dua lokasi berasingan di Kajang dan Ampang Sabtu lalu selepas dipercayai mendera bayi berkenaan.

Pemeriksaan terhadap bayi itu mendapati terdapat kesan lebam pada bahagian perut, belakang badan dan telinga, selain pendarahan pada kemaluan mangsa.

Sementara itu dalam kes berasingan, Polis Kajang menahan seorang penjaga pusat rawatan kesihatan di Semenyih, selepas dipercayai mendera seorang remaja berusia 13 tahun yang berada di bawah jagaannya.

Suspek berusia 41 tahun itu ditahan jam 5.30 petang semalam, ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.

Ahmad Dzaffir berkata, suspek dipanggil memberi keterangan sebelum ditahan selepas pihaknya menerima laporan daripada wakil sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pada Jumaat lalu.

"Laporan dibuat selepas mangsa menceritakan mengenai penderaan yang dialami kepada seorang pelanggannya ketika sesi urut selepas bersalin.

"Pelanggan itu kemudian memaklumkan kejadian berkenaan kepada wakil NGO yang kemudian tampil membuat laporan.

"Mangsa mengalami kesan lecur di bahagian lengan, badan dan mulut. Mangsa juga mendakwa dipukul dengan senduk panas, dicekik dan ditumbuk.

"Mangsa yang juga anak kedua daripada lapan beradik, kini menerima rawatan di Hospital Selayang. Dia dihantar ke pusat rawatan kesihatan itu oleh ibu bapanya sejak April lalu akibat kesempitan hidup.

"Kita juga akan mengambil keterangan daripada pemilik pusat rawatan kesihatan berusia 54 tahun itu sebaik dia selesai menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur kerana komplikasi jantung.

"Selain didera, mangsa juga dipercayai turut dirogol oleh seorang pelanggannya di Sri Petaling, pada Mei lalu. Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001," katanya.

Berita Harian X