Jumaat, 29 Disember 2017 | 11:48am

Dua beranak didakwa edar dadah

BALIK PULAU: Dua beranak dan seorang ejen penghantaran didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan mengedar 419.15 kilogram (kg) dadah jenis Eramin 5, pada 17 Disember lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan ke atas Rushdi Ismail, 47, anaknya, Muhammad Wafiy Ikhwan, 18, dan Razis Md Yusoff, 34, di hadapan Majistret Nur Fadrina Zulkhairi.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh didakwa cuba menyeludup dadah jenis Eramin 5 melalui Kompleks Kargo MAS di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada 17 Disember lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39 B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Abdul Malik Awang Kechik @ Ramli, memohon mahkamah tidak membenarkan ikat jamin ke atas semua tertuduh, selepas mengambil kira pertuduhan kes terbabit.

Nur Fadrina kemudian membenarkan semua tertuduh tidak diikat jamin dan menetapkan 26 Februari hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Rushdi dan anaknya, Muhammad Wafiy diwakili peguam SN Rajan, manakala Razis tidak diwakili peguam.

21 dibaca
RUSHDI (baju putih) dan anaknya Muhammad Wafiy Ikhwan (baju oren) serta Razis (baju hijau) yang bekerja di sebuah syarikat kargo, diiringi Pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) negeri Pulau Pinang ke Mahkamah Majistret Balik Pulau, berhubung kes rampasan 1.54 juta biji pil Eramin 5 bernilai RM23.115 juta yang cuba diseludup dari Taipei di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) pada 17 Disember lalu. - Foto Amir Irsyad Omar
Berita Harian X