Rabu, 3 Januari 2018 | 1:55pm
Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah terbakar yang menyakibatkan 21 pelajar dan dua orang warden maut.
Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah terbakar yang menyakibatkan 21 pelajar dan dua orang warden maut.

Kes bakar tahfiz pindah Mahkamah Tinggi KL

KUALA LUMPUR: Kes dua remaja berusia 16 tahun yang didakwa membunuh 21 pelajar dan dua warden Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, September lalu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk dibicara di sini.

Majistret Siti Radziah Kamarudin memutuskan demikian dalam sebutan semula kes di Mahkamah Majistret hari ini.

Permohonan untuk memindahkan kes dibuat mengikut Seksyen 177A Kanun Acara Jenayah.

Dua remaja berusia 16 tahun itu didakwa bersama-sama membunuh dan menyebabkan kematian 23 mangsa antara 4.15 pagi dan 6.45 pagi, pada 14 September lalu di Pusat Tahfiz Darul Ittifaqiyah, Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, salah seorang tertuduh yang didakwa memasukkan dadah jenis ganja dalam badan dilepas tanpa dibebaskan oleh Majistret Zilfinaz Abbas.

Mengikut pertuduhan, remaja itu didakwa memasukkan dua jenis dadah iaitu ganja dan syabu ke dalam badan di tandas pejabat D7, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini pada jam 11.35 pagi, 16 September lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaan Nordin Ismail dan Nurakmal Farhan Aziz manakala dua remaja itu diwakili peguam Haijan Omar dan Joanne Chua.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.15 pagi, 14 September 2017, 21 pelajar dan dua warden maut selepas terperangkap di tingkat tiga asrama pusat tahfiz berkenaan yang terbakar.

Hasil siasatan lanjut yang dijalankan mendapati terdapat unsur khianat dalam kejadian terbabit.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X