Rabu, 3 Januari 2018 | 7:52pm

Bapa disyaki rogol, liwat anak ditahan polis

SHAH ALAM: Seorang pekerja swasta ditahan polis kerana dipercayai merogol dan meliwat anak kandungnya berusia sembilan tahun, sejak empat tahun lalu.

Timbalan Ketua Polis Klang Utara, Superintendan Nor Omar Sappi, berkata suspek berusia 32 tahun ditahan selepas isterinya membuat laporan polis, minggu lalu.

Katanya, perbuatan lelaki berkenaan terbongkar apabila isterinya membawa anak perempuan mereka ke sebuah klinik di Pelabuhan Klang kerana masalah keputihan.

Hasil pemeriksaan, katanya, doktor memaklumkan masalah itu mungkin disebabkan mangsa pernah melakukan hubungan seks.

"Pelik dengan perkara itu, mangsa terus dirujuk ke Jabatan Kecemasan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang bagi pemeriksaan lanjut.

"Hasil temubual dengan mangsa, dia mendakwa dirogol bapanya sejak berusia lima tahun," katanya kepada BH, di sini, hari ini.

Nor Omar berkata, kanak-kanak itu turut memaklumkan, bapanya melakukan jenayah itu di rumah mereka ketika tiada sesiapa di rumah.

"Susulan itu, polis menahan bapa mangsa pada 29 Disember lalu sebelum suspek mengaku meliwat mangsa lebih 10 kali sejak anaknya berusia lima tahun.

"Suspek ditahan reman hingga Isnin depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan kerana melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X