Rabu, 3 Januari 2018 | 9:13pm
KEDIAMAN mangsa yang dipecah masuk suspek di Jalan Jenawi 3, Taman Puteri Wangsa, Ulu Tiram petang tadi.

Suspek kes samun mati bergelut dengan mangsa

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki dipercayai suspek kes samun dan pecah masuk sebuah kediaman dekat Taman Puteri Wangsa, Ulu Tiram di sini, ditemui mati selepas bergelut dengan mangsa.

Dalam kejadian jam 2.45 petang tadi, suspek berusia 32 tahun ditemui mati di tempat kejadian dengan kesan luka di belakang kepala, selepas bergelut dengan mangsa.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais, berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam memaklumkan ada seorang lelaki cedera akibat disamun dan bergelut dengan seorang lagi lelaki di kediaman mangsa dekat Jalan Jenawi 3, Taman Puteri Wangsa.

Katanya, siasatan awal mendapati ada seorang lelaki (mangsa) dalam kediaman itu yang cedera di kepala, sebelum polis menemui mayat seorang lelaki terbaring di belakang kediaman terbabit.

"Siasatan mendapati kejadian bermula apabila suspek memasuki masuk rumah milik mangsa menerusi tingkap tandas belakang bersebelahan dapur yang diumpil dari luar.

"Suspek kemudian memecahkan pintu bilik utama dan terus mengugut dengan menggunakan pemutar skru supaya menyerahkan barang berharga milik mangsa yang ketika itu berada dalam bilik.

"Lelaki itu kemudian menggeledah bilik kedua dan ketiga dengan dipandu arah oleh mangsa yang dalam ketakutan kerana suspek bersenjatakan pemutar skru," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Shahurinain berkata, suspek kemudian memaksa mangsa membuka pintu dapur untuk melarikan diri sebelum mangsa berjaya mencapai satu pisau pemotong sayur berukuran 22 sentimeter dan bertindak mengarahkan suspek memulangkan semula barang miliknya.

"Suspek bagaimanpun enggan memulangkan sebelum berlaku pergelutan menyaksikan kedua-duanya mengalami kecederaan.

"Mayat suspek dihantar ke bilik mayat Hospital Sultan Ismail untuk bedah siasat yang akan dijalankan pada esok jam 9 pagi," katanya.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek memiliki 14 rekod jenayah lampau membabitkan pelbagai kesalahan jenayah.

Berita Harian X