Khamis, 4 Januari 2018 | 4:18pm

2 minit dapat RM370,000

KAJANG: Tiga lelaki disyaki bersenjatakan objek menyerupai pistol dan tukul besi melarikan barang kemas dianggar bernilai hampir RM370,000 dari sebuah kedai emas di pasar raya dekat sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 11.25 pagi itu, dua suspek berjaket warna gelap dan berseluar jeans panjang, memecahkan cermin kaca pameran barang kemas menggunakan tukul besi.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff, berkata ketika kejadian, hanya ada seorang pekerja wanita berada dalam premis berkenaan.

"Seorang suspek memecahkan cermin kaca kaunter pameran barang kemas, manakala seorang lagi suspek yang memakai jaket warna gelap, topi keledar bercermin gelap dan bersenjatakan objek menyerupai pistol berkawal di hadapan premis dan.

"Seorang lagi menjaga motosikal di luar pasar raya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, siasatan lanjut mendapati tiga suspek berkenaan menaiki dua motosikal jenis Yamaha LC berwarna hitam dan nombor pendaftaran tidak dapat dikenal pasti. 

"Suspek bertindak dalam masa dua minit sahaja dan berjaya melarikan barang kemas dianggarkan bernilai RM370,000," katanya.

Katanya, siasatan ke atas premis berkenaan menjumpai tiga kesan cap jari pada cermin kaca kaunter.

"Selain itu, terdapat satu tukul besi dan kesan peluh pada pemegang tukul besi," katanya.

Kes disiasat dijalankan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan bersenjata.

 

 

Berita Harian X