Ahad, 7 Januari 2018 | 12:27pm
Antara wanita warga asing yang disyaki menjadi tukang urut yang ditahan dalam Ops Noda oleh Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Selangor dalam serbuan di tiga buah premis di Prima Sri Gombak, awal pagi tadi. - Foto ihsan PDRM

D7 Selangor gempur pusat urut tanpa lesen

GOMBAK: Seramai 19 wanita warga asing dan tiga lelaki tempatan ditahan menerusi Ops Noda di sekitar kawasan Prima Sri Gombak, di sini, awal pagi tadi.

Serbuan serentak di tiga premis, bermula jam 1.15 pagi itu dilakukan pasukan pegawai dan anggota Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor diketuai Pegawai Turus Deputi Superintendan Norhizam Bahaman.

Semua wanita yang ditahan terdiri daripada 12 wanita warga Vietnam, Thailand (empat) dan tiga wanita warga Kemboja yang dipercayai bekerja sebagai tukang urut manakala tangkapan lelaki membabitkan tiga warga tempatan yang bekerja sebagai penjaga premis.

Pemeriksaan ke atas ketiga-tiga premis mendapati ia beroperasi tanpa lesen perniagaan sah. Turut dirampas, peralatan untuk mengurut dan wang tunai sebanyak RM1,088.

Semua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 55B dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 serta Seksyen 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Berita Harian X