Isnin, 8 Januari 2018 | 9:51am

Lelaki ditahan miliki 600 biji pil kuda

PERMAISURI: Seorang lelaki dipercayai pengedar dadah ditahan selepas cuba membuang bungkusan berisi 600 biji pil kuda, di Kampung Telaga Papan, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Zulkifli Mat Deris, berkata suspek berusia 37 tahun itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) ketika berada dalam keadaan mencurigakan di belakang sebuah rumah di lokasi terbabit, jam 4.30 petang.

Katanya, suspek cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran poli, namun ditahan selepas berlaku pergelutan.

"Suspek dilihat sempat mencampakkan satu bungkusan kertas surat khabar ke kawasan berpasir sebelum ditangkap.

"Pemeriksaan lanjut di kawasan berhampiran turut menemui satu bungkusan kertas surat khabar yang diikat di atas pasir.

"Satu lagi bungkusan surat khabar turut ditemui. Pemeriksaan lanjut mendapati bungkusan terbabit berisi satu paket plastik kecil warna biru yang mengandungi pil warna merah dan hijau," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Zulkifli berkata, setiap satu paket plastik warna biru mengandungi 200 biji pil warna merah dan hijau bertanda WY disyaki dadah.

"Jumlah kesemua pil yang dirampas sebanyak 600 biji pil warna merah dan hijan bertanda WY dengan berat keseluruhan kira-kira 60 gram.

"Polis turut merampas sebuah kenderaan jenis Honda Odyssey setengah jam selepas suspek ditahan," katanya.

Katanya, bekalan pil kuda dipercayai diperoleh dari negara jiran untuk diedarkan di kawasan pantai Setiu seperti Penarik, Rhu Sepuloh dan Merang.

"Ujian air kencing suspek positif jenis Dadah Methaphemtamine dan memiliki lima rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah sejak 2011 dan pernah ditahan pada 6 Ogos 2017, di Pasir Akar Besut di bawah seksyen 39(A)(1) Akta Dadah Berbahaya" katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Berita Harian X