Selasa, 9 Januari 2018 | 2:46pm
PERALATAN yang digunakan suspek untuk memecah masuk tiga surau di sekitar Kluang sebelum berjaya ditahan Sabtu lalu.- Foto Adnan Ibrahim

`Kaki' curi tabung surau

KLUANG: Seorang lelaki ditahan selepas memecah masuk dan mengumpil tabung Surau Al-Jamiah, Kampung Melayu, di sini, Sabtu lalu.

Dalam kejadian kira-kira 2 pagi itu, suspek berusia 25 tahun berkenaan diberkas penduduk kampung yang melakukan intipan selepas surau berkenaan dipecah masuk tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohamad Laham, berkata hasil soal siasat, suspek mengaku memecah masuk surau yang sama dan melarikan wang tabung surau berkenaan tahun lalu.

Katanya, suspek turut mengaku memecah masuk Surau Taman Sri Kluang, akhir tahun lalu dan melarikan sistem pembesar suara serta wang tabung surau berkenaan.

"Suspek ditahan selepas kariah serta penduduk Surau Al-Janiah, Kampung Melayu yang melakukan rondaan menyedari kehadiran dua lelaki mencurigakan menunggang motosikal memasuki pekarangan surau awal pagi kejadian.

"Penduduk berjaya menahan seorang daripada suspek, manakala seorang lagi suspek berusia lingkungan 30-an sedang dikesan.

"Polis berjaya merampas kuku kambing, playar, pemotong besi, pemotong skru, spanar, beg sandang serta RM200 wang tabung surau berkenaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, di sini, hari ini.

Mohamad berkata, hasil siasatan lanjut membawa kepada penemuan RM1,000 hasil curi wang tabung Surau Al Jamiah dan Surau Taman Sri Kluang, akhir tahun lalu, manakala sistem pembesar suara yang turut dilarikan sedang dikesan polis.

Katanya, ujian air kencing suspek juga mendapati dia positif dadah.

"Suspek kini direman empat hari untuk siasatan mengikut Seksyen 453 Kanun Keseksaan kerana jenayah pecah masuk," katanya.

Berita Harian X