Selasa, 9 Januari 2018 | 4:50pm
SERAMAI 34 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) terpaksa menerima rawatan apabila dipercayai mengalami keracunan makanan pagi tadi.- Foto L Manimaran

34 pelajar MRSM Gerik keracunan makanan

GERIK: Seramai 34 pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Gerik, di sini, terpaksa menerima rawatan apabila dipercayai mengalami keracunan makanan, pagi tadi.

Mereka didapati mengalami gejala sakit perut, cirit-birit dan muntah sebelum sebahagian mereka dibawa ke sebuah klinik swasta, manakala yang lain dibawa Hospital Gerik.

Seorang kakitangan sebuah klinik swasta, di sini, berkata seramai 18 pelajar berusia antara 14 tahun dan 17 tahun, membabitkan sembilan pelajar lelaki dan selebihnya, perempuan dibawa ke klinik itu.

"Mereka dibawa ke klinik ini kira-kira jam 9 pagi dan dibenarkan kembali ke sekolah lebih kurang dua jam kemudian.

"Mereka hanya menerima rawatan pesakit luar dan tiada yang dirujuk ke Hospital Gerik untuk rawatan lanjut," katanya .

Sementara itu, kakitangan Hospital Gerik memaklumkan, 16 pelajar menerima rawatan pesakit luar di hospital itu dan dibenarkan kembali ke sekolah pada kira-kira jam 11 pagi.

Difahamkan, semua pelajar berkenaan mengalami keracunan makanan selepas menikmati sarapan pagi di asrama sekolah.

Difahamkan juga, pihak Hospital Gerik turut mengambil sampel daripada pelajar terbabit untuk pemeriksaan lanjut dan semua pelajar itu kini dilaporkan dalam keadaan stabil.

43 dibaca
Berita Harian X