Rabu, 10 Januari 2018 | 11:29am
KEADAAN kereta PERODUA Axia dinaiki tiga penuntut tahun akhir Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Jasin remuk dan menyebabkan tiga penuntut cedera parah selepas dirempuh kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dalam kemalangan di Kilometer 33 Jasin-Merlimau, Jasin. - Foto Ihsan pembaca

Penuntut UiTM parah kemalangan

JASIN: Tiga penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) cawangan Jasin, di sini, cedera parah selepas terbabit kemalangan di Kilometer 33 Jasin-Merlimau, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, mangsa Muhammad Faris Mohamed Yusof, 24, dan Ahmad Mudazafar Mohd Din, 23, patah tulang paha manakala Farouq Muntasir Mohd Azam, 23, cedera parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Arshad Abu, berkata kemalangan berlaku selepas kereta dipandu Muhammaf Faris dirempuh kenderaan pacuan empat roda.

Katanya, kenderaan Muhammad Faris dalam perjalanan dari arah Plaza Tol Lipat Kajang ke kampus UiTM Jasin, manakala kenderaan pacuan empat roda dari arah Merlimau.

"Pacuan empat roda terbabit dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke arah bertentangan dan bertembung dengan kereta ini.

"Pemandu pacuan empat roda berusia 21 tahun tidak cedera," katanya ketika dihubungi, pagi ini.

Beliau berkata, ketiga-tiga mangsa yang juga penuntut tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Sistem Maklumat dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Berita Harian X