Jumaat, 12 Januari 2018 | 12:35pm

Suami isteri jual dadah ditahan

KUCHING: Pasangan suami isteri ditahan polis kerana dikenal pasti terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah, di sini, semalam.

Dalam serbuan kira-kira jam 4 petang di sebuah apartmen di Muara Tabuan itu, polis turut merampas pelbagai jenis dadah dan pil khayal bernilai RM194,976.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Abang Ahmad Abang Julai, berkata serbuan itu dilancarkan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching hasil risikan dan maklumat awam.

Beliau berkata, suspek lelaki berusia 45 tahun ditahan di tempat letak kereta apartmen berkenaan bersama satu beg galas mengandungi syabu seberat 2.1 gram dan 100 biji pil eramin 5.

"Polis kemudiannya dibawa suspek ke kediamannya untuk pemeriksaan lanjut dan suspek menunjukkan sebuah bilik, seterusnya menahan isterinya warga Indonesia berusia 40 tahun."

"Di bilik berkenaan, polis menemui syabu seberat 611.7 gram, 140 biji pil ekstasi dan 650 biji pil eramin 5 yang disimpan di dalam beberapa beg plastik," katanya pada sidang media di IPD Kuching, hari ini.

Abang Ahmad berkata, suspek mengakui bergerak solo menjalankan kegiatan haram itu sejak tahun lalu bagi menjual dadah kepada penagih tempatan.

Katanya, suspek menjual dadah secara bersemuka dan turut menggunakan kaedah pindahan akaun sebelum diserahkan kepada penagih di lokasi tertentu.

"Suspek yang tidak bekerja dipercayai menampung kehidupannya dengan mengedar dadah di sekitar daerah ini.

"Polis juga merampas Toyota Vios dan wang tunai RM2,000 daripada suspek," katanya.

Abang Ahmad berkata, suami isteri itu kini direman tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Berita Harian X