Ahad, 21 Januari 2018 | 2:28pm
AFZIR Muhamad Wazer, menunggu jenazah adiknya Muhsin Muhammad Wazer di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun.- Foto Abdullah Yusof
AFZIR Muhamad Wazer, menunggu jenazah adiknya Muhsin Muhammad Wazer di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun.- Foto Abdullah Yusof
MUHSIN meninggal dunia di Wad Kecemasan, HRPB.
MUHSIN meninggal dunia di Wad Kecemasan, HRPB.

Motosikal baru dibeli 3 bulan sebelum nahas

IPOH: Seorang daripada empat mangsa kemalangan maut di Kilometer 278.9 Lebuhraya Utara Selatan arah utara di sini subuh tadi, baru tiga bulan membeli motosikal Kawasaki Ninja sebelum terbabit nahas itu.

Afzir Muhammad Wazer, 37, berkata adiknya, Muhsin, 23, adalah anak bongsu daripada 10 beradik dan bekerja di sebuah kedai makan di Seri Iskandar.

Katanya, arwah meminati motosikal sejak kecil dan telah lama berhasrat menggantikan motosikal jenis Yamaha 125Z digunakannya sebelum ini.

"Motosikal itu baru sahaja dibeli daripada seorang kawan dan masih belum sempat tukar nama lagi," katanya ditemui di Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, hari ini.

Afzir berkata, arwah pernah memaklumkan kepada ibu mereka, dia sudah ada wanita pilihan dan mahu melangsungkan perkahwinan dalam masa terdekat.

"Semuanya dalam perancangan dan sebagai abang kami cuba membantu untuk memudahkan segala urusan," katanya.

Dalam nahas jam 5.36 pagi, Muhsin yang menunggang motosikal jenis Kawasaki Ninja RR dan pemboncengnya, Mohammad Hafiz Jabon, 33, meninggal dunia di Wad Kecemasan, HRPB.

Dua lagi mangsa, penunggang dan pembonceng motosikal jenis Yamaha RXZ, Rafiq Hafizi Rahimi, 21, dan Mohd Syarif Mohd Said, 30, maut di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby, berkata siasatan awal mendapati kedua-dua motosikal berkenaan dalam perjalanan secara berkonvoi dari arah Simpang Pulai menghala ke Ipoh sebelum dipercayai bergesel sesama sendiri dalam kelajuan tinggi.

Sementara itu, abang Rafiq Hafizi, Rafiezul Asyraf, 24, berkata adik bongsu daripada lima beradik itu berada di tahun akhir dalam jurusan Kejuruteraan Elektrik di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) di Bangi, Selangor.

Rafiq Hafizi pulang ke kampung dengan kereta manakala motosikal ditunggangnya itu diletakkan di rumah keluarga di Bukit Chandan, Kuala Kangsar.

Rafiezul Asyra berkata, adiknya jarang keluar rumah pada waktu malam hingga lewat pagi namun tindakannya keluar rumah malam tadi agak menghairankan.

"Arwah sangat suka barang antik dan hasratnya untuk membeli motosikal RXZ dua tahun lalu tercapai kerana tiada lagi keluaran baharu motosikal jenis itu di pasaran," katanya. 

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X