Ahad, 21 Januari 2018 | 7:30pm
DUA lelaki maut selepas motosikal yang dinaiki terbabit dalam kemalangan di Kilometer 376.5 Lebuh Raya Utara Selatan arah Selatan - Foto ihsan PDRM
DUA lelaki maut selepas motosikal yang dinaiki terbabit dalam kemalangan di Kilometer 376.5 Lebuh Raya Utara Selatan arah Selatan - Foto ihsan PDRM

Sahabat tidak sempat makan bersama

SLIM RIVER: Hasrat dua sahabat untuk makan bersama-sama di pekan Tanjung Malim tidak kesampaian, apabila maut selepas motosikal dinaiki terbabas.

Kemalangan berlaku di Kilometer 376.5 Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan, dekat sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.40 petang itu, Mohd Hairric Mohd Hafiz Chandar, 28, yang menunggang motosikal jenis Honda RS150R dan pembonceng, Mohd Syazwan Naim Mohd Sandradee, 26, meninggal dunia di tempat kejadian.

Kedua-dua mangsa berasal dari Ampang, Selangor, dengan Mohd Hairric bekerja sebagai pemandu lori manakala Mohd Syazwan Naim pula bekerja sendiri.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Wan Kamarul Azran Wan Yusof, berkata siasatan awal mendapati mereka dalam perjalanan dari Rumah Anak Yatim Tapah, menuju ke Tanjung Malim untuk makan.

Katanya, sebaik saja tiba di tempat kejadian, mangsa yang menunggang motosikal di lorong kanan jalan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar pembahagi jalan.

"Akibat pelanggaran itu, Mohd Hairric terseret di tengah jalan berada, manakala sahabatnya pula tercampak dan terseret di bawah besi penghadang jalan.

"Kedua-dua mangsa disahkan maut di tempat kejadian dan siasatan polis juga mendapati terdapat kesan seretan sepanjang 67.30 meter di permukaan jalan lebuh raya itu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Slim River.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) (A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Berita Harian X