Selasa, 23 Januari 2018 | 4:52pm

JKDM rampas rokok seludup RM30.8 juta

DENGKIL: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menumpaskan cubaan menyeludup rokok bernilai RM30.8 juta di Kawasan Zon Bebas, Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan/Pematuhan), Datuk Zulkifli Yahya, berkata risikan Unit Siasatan Frod (Penipuan) Perdagangan, Cawangan Siasatan JKDM mendapati rokok berkenaan diisi dalam empat kontena yang diikrarkan sebagai pelbagai barangan lain dalam Sistem Maklumat Kastam.

Katanya, serbuan itu dilakukan pada 18 Januari lalu.

"Kita sedang menyiasat ejen perkapalan dan ejen penghantaran terbabit kerana melakukan kesalahan mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 atas kesalahan mengimport barang larangan tanpa permit import yang sah.

"Mengikut Jadual Ketiga Bahagian 1 Perkara 66 Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017, jika sabit kesalahan pertama boleh dikenakan denda tidak kurang 10 kali dan tidak lebih 20 kali duti kastam terbabit atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya," katanya.

"Bagi kesalahan kedua dan seterusnya pula, boleh dikenakan denda tidak kurang daripada 20 kali dan tidak lebih 40 kali duti kastam yang terbabit atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata rokok itu diseludup dalam empat kontena masing-masing berukuran 12 meter berasal dari Vietnam dan siasatan awal mendapati alamat penerimanya tidak wujud manakala barangan di dalamnya diiktiraf sebagai beg, baju T, raket, kain, selendang, bunga palsu, beg plastik, tuala, tirai, jubah, pakaian kanak-kanak dan makanan ringan.

Katanya, nilai rokok yang dirampas ialah RM3.16 juta manakala cukai import RM7.9 juta, cukai eksais RM18.1 juta dan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) RM1.74 juta tidak dibayar.

"Kes ini juga disiasat mengikut Seksyen 133(1)(b) Akta Kastam 1967 kerana membuat ikrar tidak benar ke atas pengikraran import dan jika disabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak kurang RM500,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

TIMBALAN Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan/Pematuhan), Datuk Zulkifli Yahya (tengah) bersama pegawai-pegawainya menunjukkan rokok yang dirampas selepas sidang media rampasan penyeludupan rokok seludup di Pelabuhan Klang dengan cukai anggaran bernilai RM30.8 Juta. - Foto Mohd Fadli Hamzah

 TIMBALAN Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan/Pematuhan), Datuk Zulkifli Yahya ketika sidang media rampasan penyeludupan rokok seludup di Pelabuhan Klang dengan cukai anggaran bernilai RM30.8 Juta - Foto Mohd Fadli Hamzah

Berita Harian X