Rabu, 24 Januari 2018 | 5:22pm
ANGGOTA bomba membawa mangsa yang maut selepas terkena renjatan elektrik ketika mengambil buah mangga di halaman sebuah rumah di Jalan Langkawit, Kampung Benoni, Papar. - Foto ihsan Bomba

Lelaki maut tak sempat makan buah mangga

PAPAR: Seorang lelaki maut terkena renjatan elektrik ketika mengambil buah mangga di halaman sebuah rumah di Jalan Langkawit, Kampung Benoni, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, Madius Tandurung, 53, dipercayai mengait buah mangga sebelum galah batang aluminium yang digunakannya terkena kabel elektrik.

Difahamkan, pokok mangga terletak bersebelahan kabel elektrik bervoltan tinggi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Papar, Janil Jaya, ketika dihubungi berkata, mangsa bekerja sebagai pemandu di sebuah syarikat kuari yang beroperasi di kawasan berhampiran.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu daripada rakan mangsa pada jam 2.13 petang sebelum menghantar lapan anggota.

"Berdasarkan maklumat daripada rakannya, mangsa menyatakan hasrat untuk makan buah mangga dan terus ke lokasi untuk mengait buah berkenaan.

"Selepas kira-kira sejam tidak pulang ke tempat kerja, rakannya hairan sebelum mereka ke lokasi kejadian dan menemui mangsa terbaring di atas rumput," katanya.

Katanya, rakan mangsa kemudian menghubungi bomba bagi mendapatkan bantuan, namun difahamkan mangsa sudah meninggal dunia.

Berita Harian X