Selasa, 30 Januari 2018 | 1:18pm

Dua remaja mengaku tidak bersalah bakar tahfiz

KUALA LUMPUR: Dua remaja lelaki yang didakwa atas pertuduhan membunuh 23 penghuni Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, September tahun lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Pengakuan itu dibuat sejurus kesemua 23 pertuduhan dibacakan secara bersama di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah.

Mengikut pertuduhan, mereka yang berusia 16 tahun itu didakwa bersama-sama membunuh 21 pelajar dan dua warden pusat tahfiz berkenaan di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju di sini, antara jam 4.15 pagi dan 6.45 pagi, 14 September tahun lalu.

Kedua-dua tertuduh masing-masing menghadapi 23 pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Sebelum prosiding, Azman turut mengingatkan supaya pihak media yang membuat laporan berhubung kes itu tidak mendedahkan identiti serta maklumat tertuduh kepada umum, termasuk nama, tempat tinggal dan sekolah berikutan mereka adalah juvana.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurakmal Farhan Aziz mengemukakan bantahan awal secara lisan kepada mahkamah supaya pihak pembelaan yang diwakili peguam dari firma guaman Tetuan Gobind Singh Deo dikecualikan atau dilarang mewakili kedua-dua tertuduh.

Beliau berkata, mana-mana peguam atau pegawai undang-undang dari firma terbabit dilarang atau dikecualikan bagi mewakili dua tertuduh atas alasan firma itu mewakili dua tertuduh lain di Mahkamah Majistret yang akan menjadi saksi utama kes berkenaan.

"Secara langsung, pihak pembelaan telah mempunyai akses yang bakal digunakan semasa perbicaraan," katanya.

Sementara itu, peguam kedua-dua tertuduh, Michelle Ng memohon supaya mahkamah menetapkan tarikh lain bagi mendapatkan arahan daripada firma guamannya kerana belum menerima sebarang notis berhubung isu berkenaan.

Mahkamah menetapkan 19 Februari depan untuk sebutan semula kes.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.15 pagi, 14 September tahun lalu, 21 pelajar dan dua warden maut selepas terperangkap di tingkat tiga asrama pusat tahfiz itu yang terbakar.

Hasil siasatan lanjut yang dijalankan mendapati wujud unsur khianat dalam kejadian itu.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X