Khamis, 1 Februari 2018 | 1:46am

Ejen haram guna media sosial pujuk majikan

KOTA KINABALU: Tawar pendatang asing tanpa izin (PATI) melalui media sosial. Itu antara taktik licik ejen haram yang menawarkan buruh warga Filipina kepada majikan untuk bekerja sebagai pembantu rumah, pekerja ladang dan pelayan pusat hiburan.

Malah, ada dalam kalangan mereka sanggup mendahulukan wang untuk tambang PATI sebelum proses membawa masuk mereka ke Sabah, secara haram.

GRAFIK lokasi kawasan perumahan atas air di Kampung Tinosa, di Sandakan antara penempatan dipercayai menjadi pendaratan pendatang asing tanpa izin dari Filipina. - Foto NSTP
GRAFIK lokasi kawasan perumahan atas air di Kampung Tinosa, di Sandakan antara penempatan dipercayai menjadi pendaratan pendatang asing tanpa izin dari Filipina. - Foto NSTP

PATI berkenaan dipercayai dibawa ke perkampungan atas air di sekitar Sandakan sebagai transit sebelum dihantar ke tempat majikan di sekitar negeri itu.

Ejen terbabit sebelum itu memujuk bakal majikan dengan mengatakan wanita warga Filipina yang ditawarkan pandai bekerja, rajin dan berpengalaman.

Bagi mendapatkan warga Filipina pekerjaan, ejen haram terbabit turut menggunakan Facebook untuk mencari bakal majikan dengan menyasarkan individu yang 'mengiklankan' tawaran kerja di laman berkenaan.

Seorang wanita berbangsa Filipina mengaku berperanan sebagai ejen mendedahkan, selain bekerja sebagai pembantu rumah, ada juga yang boleh bekerja di pusat hiburan.

Katanya, ejen bagaimanapun perlu memastikan terlebih dulu bakal PATI yang diseludup diterima bekerja, sebelum dibawa masuk ke Sabah menerusi perairan Sandakan, manakala kos membawa PATI pula ditanggung ejen sebelum dibayar secara ansuran oleh PATI kepada mereka setiap bulan.

PULAU Bakkugaan Besar, Filipina yang terletak di sempadan perairan Malaysia-Filipina yang dipercayai menjadi pulau transit bagi pendatang asing tanpa izin (PATI) sementara. - Foto NSTP
PULAU Bakkugaan Besar, Filipina yang terletak di sempadan perairan Malaysia-Filipina yang dipercayai menjadi pulau transit bagi pendatang asing tanpa izin (PATI) sementara. - Foto NSTP

"Kami tanggung kos perjalanan dulu, kemudian mereka (PATI) akan bayar setiap bulan.

"Untung tak banyak cuma beberapa ratus, tetapi cuma mahu tolong 'orang miskin' (PATI) cari kerja di Sabah," katanya sambil mendakwa kos perjalanan antara 5,000 hingga 10,000 peso atau RM300 hingga RM800 tertakluk kepada jarak perjalanan dari Filipina ke Sabah.

Wanita terbabit turut mendedahkan, biasanya PATI yang mendapatkan khidmat mereka untuk mencari pekerjaan di Sabah sudah bersedia di Pulau Taganak, Filipina, berhampiran sempadan Filipina-Malaysia, 18 batu nautika dari Sandakan.

PULAU Bakkugaan Besar, Filipina yang terletak di sempadan perairan Malaysia-Filipina yang dipercayai menjadi pulau transit bagi pendatang asing tanpa izin (PATI) sementara. - Foto NSTP
PULAU Bakkugaan Besar, Filipina yang terletak di sempadan perairan Malaysia-Filipina yang dipercayai menjadi pulau transit bagi pendatang asing tanpa izin (PATI) sementara. - Foto NSTP

Katanya, ia bagi memudahkan dan mempercepatkan mereka menyeludup masuk ke Sandakan jika majikan memerlukan pekerja segera.

"Dari Pulau Taganak, mereka akan menaiki bot laju ke Sandakan. Biasanya tengah malam atau Subuh dan mendarat di kawasan rumah atas air kerana senang masuk.

"Tetapi mereka singgah di rumah 'transit', biasanya rumah atas air cuma beberapa jam atau sehari sebelum dihantar ke tempat majikan bagi mengelak ditahan jika ada operasi," katanya sambil mendakwa rumah 'transit' adalah rumah saudara-mara mereka atau ejen.

Sementara itu, Hajira, 28, dari Pulau Basilan, Filipina, berkata dia datang ke Sabah sejak dua tahun lalu dengan bantuan saudara yang sudah 'menetap' di daerah ini.

LORONG kecil dalam kawasan bakau yang dipercayai dijadikan tempat persembunyian bot membawa pendatang asing tanpa izin untuk mengelak dikejar pasukan keselamatan. - Foto NSTP
LORONG kecil dalam kawasan bakau yang dipercayai dijadikan tempat persembunyian bot membawa pendatang asing tanpa izin untuk mengelak dikejar pasukan keselamatan. - Foto NSTP

Katanya, dia menaiki kumpit iaitu kapal barter trade dari Zamboanga sebelum singgah di Pulau Taganak untuk menunggu bot yang membawanya ke Sandakan.

"Kami tunggu dua hari di Pulau Taganak, sebelum ada bot datang dari Sandakan. Dalam bot ada lebih 20 orang naik tetapi saling tak kenal dan kami jalan (bergerak) pada waktu pagi sekitar jam 2 pagi dan ombak tinggi kira-kira satu meter setengah.

"Sepanjang jalan lampu bot dimatikan untuk mengelak dilihat polis sehingga tiba di kawasan rumah atas air (di Sandakan)," katanya.

Hajira berkata, dia hanya berada sehari di rumah saudaranya di perkampungan atas air itu, sebelum menaiki kereta sewa ke Lahad Datu untuk bekerja di restoran dan berpindah ke sebuah ladang kelapa sawit sejak setahun lalu.

Selain bekerja sebagai pembantu rumah atau pelayan pusat hiburan, warga Filipina turut dijanjikan pekerjaan di ladang kelapa sawit.

Sumber memberitahu BH, biasanya syarikat perladangan tidak menggunakan ejen, sebaliknya menjadikan buruh Filipina sedia ada dalam ladang atau digelar 'mandor' sebagai 'orang tengah' untuk membawa PATI dari seberang kerana lebih mudah dan murah.

PONDOK kecil dipercayai didirikan bagi tujuan persembunyian pendatang asing untuk menunggu waktu sesuai ke jeti pendaratan. - Foto NSTP
PONDOK kecil dipercayai didirikan bagi tujuan persembunyian pendatang asing untuk menunggu waktu sesuai ke jeti pendaratan. - Foto NSTP

Sumber itu berkata, 'mandor' juga bertanggungjawab menguruskan perjalanan rakan senegara mereka dari Filipina sehingga ke ladang kelapa sawit.

Katanya, kos perjalanan pekerja Filipina akan ditanggung terlebih dahulu oleh syarikat, sebelum dipotong dalam gaji bulanan pekerja.

"Kos pengambilan seorang warga Filipina antara RM500 hingga RM700 untuk membawa mereka dari Filipina sehingga ke ladang. Biasanya 'mandor' ambil masa antara satu atau dua minggu untuk menguruskan proses kemasukan pekerja yang dibawa dari Filipina," katanya.

Sumber itu berkata, kesukaran mendapatkan warga tempatan untuk bekerja di ladang kelapa sawit terutama membabitkan kerja sebagai pengutip buah, selain faktor gaji menyebabkan syarikat perladangan terpaksa bergantung terhadap tenaga kerja asing di sektor itu.

"Sukar mencari orang tempatan bekerja dan jika ada pun, cuma bertahan beberapa bulan. Mereka (orang tempatan) juga tidak mahu bekerja kerana gaji ditawarkan rendah, tetapi kerja berat," katanya.

Katanya, syarikat perladangan juga tidak akan terbabit secara langsung dalam proses membawa PATI dari Filipina untuk bekerja di ladang bagi mengelak kegiatan haram itu diketahui pihak berkuasa dan berdepan risiko dikenakan tindakan undang-undang kerana mengupah warga asing.

INFO

- Kos pengambilan warga Filipina untuk bekerja di ladang RM500-RM700.

- Bekerja sebagai pengutip buah di ladang kelapa sawit.

- Turut ditawarkan bekerja dalam pelbagai sektor termasuk di pusat hiburan dan pembantu rumah.

- Kos perjalanan dari Filipina ke Sabah menaiki bot 5,000-10,000 peso atau RM300-RM800.

- Masa perjalanan antara 30 minit hingga satu jam.

- Jarak Pulau Taganak ke Sandakan iaitu 18 batu nautika.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X