Ahad, 4 Februari 2018 | 10:38am
MOHD Haris ketika ditemui, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang selepas seorang murid Tahun Empat sebuah Sekolah Kebangsaan (SK) tangannya digigit guru sehingga lebam.

Murid dakwa tangan digigit guru

PENAMPANG: Polis akan menyiasat dakwaan seorang murid Tahun Empat sebuah Sekolah Kebangsaan (SK) di daerah ini, bahawa tangannya digigit guru sehingga lebam.

Dalam kejadian jam 10.25 pagi kelmarin, murid lelaki terbabit mendakwa ia berlaku ketika dia menghantar kertas jawapan ke meja guru lelaki berkenaan.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada ibu bapa mangsa.

"Laporan dibuat berikutan pengadu mendapati kesan lebam di tangan anak sulung mereka.

"Kesan lebam itu disedari ketika pengadu bersama keluarga makan di sebuah restoran di sini dan mangsa mengadu sakit di tangan kanan," katanya di sini, hari ini.

Mohd Haris berkata, selepas diperiksa, pengadu mendapati ada kesan lebam dan anaknya memaklumkan ia akibat gigitan.

"Mangsa mendakwa guru itu menggigit tangan kanannya ketika dia menghantar kertas jawapan di meja guru yang mengajar satu mata pelajaran di kelasnya kelmarin," katanya.

Mohd Haris berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X