Ahad, 4 Februari 2018 | 1:39pm
KEADAAN rumah pusaka yang didiami pasangan warga emas yang terbakar di Kampung Batu Rakit, Kuala nerus. - Foto ihsan bomba
ANGGOTA bomba menyiasat lokasi kebakaran sebuah rumah pusaka yang didiami pasangan warga emas yang terbakar di Kampung Batu Rakit, Kuala nerus. - Foto ihsan bomba
KEADAAN rumah pusaka yang didiami pasangan warga emas musnah dalam kebakaran di Kampung Batu Rakit, Kuala Nerus. - Foto ihsan bomba

Rumah pusaka terbakar, wang simpanan hangus

KUALA NERUS: Pasangan warga emas kerugian wang simpanan sebanyak RM12,000 serta tiga cincin emas apabila rumah pusaka yang didiami hampir 100 tahun musnah dalam kebakaran.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi tadi di Kampung Batu Rakit, di sini, mangsa, Muhammad Nor Othman, 94, dan isterinya, Fatimah Besar, 84, sedang berehat di ruang tamu, manakala menantunya yang tinggal bersama mereka berada di luar rumah berkenaan.

Menantu pasangan itu, Ziyana Mohamad Ariffin, 38, berkata dia menyedari kejadian itu sebaik membuka pintu bilik tidurnya.

"Ketika kejadian saya sedang menjemur pakaian di luar rumah. Sebaik selesai saya terus masuk ke dalam rumah.

"Saya terkejut apabila membuka pintu bilik api sudah marak. Tanpa melengahkan masa saya terus berlari dan membawa anak kecil berusia empat tahun serta ayah dan ibu mentua keluar menyelamatkan diri," katanya.

Beliau berkata, dia juga kerugian wang simpanan sebanyak RM1,800 yang diletakkan didalam biliknya.

"Ayah mengalami masalah pendengaran. Malah asap juga tidak kelihatan. Sebab itu, mereka tidak sedar bilik saya sudah terbakar.

"Bagaimanapun, ketika kejadian saya tidak fikir mengenai wang simpanan, apa yang penting keselamatan kami yang berada di rumah ketika itu," katanya yang tinggal bersama lima sekeluarga di rumah berkenaan.

Ketua Balai Bomba Kuala Terengganu, Timbalan Penguasa Bomba, Rozizah Abni Hajar berkata, rumah berkenaan musnah sama sekali berikutan angin kuat serta struktur rumah berasaskan kayu sepenuhnya menyebabkan api marak dengan cepat.

"Kita menerima panggilan jam 9.35 pagi dan dua jentera dengan kekuatan 15 anggota dari Balai Bomba Kuala Nerus dan Kuala Terengganu tiba di lokasi kejadian kira-kira 10 minit kemudian.

"Meskipun berdepan masalah angin kuat ketika operasi pemadaman api serta kayu lama yang mudah terbakar, kita berjaya memadamkan kebakaran dalam tempoh 20 minit.

"Buat masa ini Unit Forensik masih lagi menyiasat punca kebakaran serta kerugian keseluruhan dialami mangsa," katanya.

Berita Harian X