Selasa, 6 Februari 2018 | 3:27pm
SEPUCUK Revolver ditemui dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Nuri 2, Parit Sulong Batu Pahat, Johor petang semalam. - Foto Ihsan PDRM
SEPUCUK Revolver ditemui dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Nuri 2, Parit Sulong Batu Pahat, Johor petang semalam. - Foto Ihsan PDRM

Lelaki miliki pistol, dadah ditahan polis

BATU PAHAT: Polis menahan seorang lelaki dan merampas sepucuk pistol dan paket dadah, dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Nuri 2, Parit Sulong, dekat sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Abdul Wahib Musa, berkata hasil semakan mendapati suspek mempunyai 10 rekod jenayah termasuk enam daripadanya berkaitan dadah.

"Hasil pemeriksaan di dalam bilik terbabit menjumpai satu paket plastik lut sinar disyaki berisi heroin dan empat biji pil disyaki pil Eramin 5.

"Pemeriksaan di kawasan sekeliling luar rumah suspek kemudian menjumpai sepucuk senjata berbentuk 'Revolver' bertulisan 'WI' yang dibungkus dengan sehelai stokin disorokkan di bawah pokok di depan rumah suspek.

"Senjata akan diuji fungsinya dan suspek ditahan reman selama empat hari sehingga Jumaat ini," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Abdul Wahib berkata, lokasi serbuan adalah sebuah rumah teres dua tingkat jenis batu dan suspek saja yang berada di dalam rumah terbabit.

"Pemeriksaan ke atas senjata terbabit turut menemui dua butir peluru bertulisan 'Wingun 100'. Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Berita Harian X