Khamis, 8 Februari 2018 | 2:39pm

Lelaki berdepan hukuman gantung

BUKIT MERTAJAM: Seorang lelaki berdepan hukuman gantung sampai mati selepas ditahan bersama dadah seberat 125.98 gram di Bukit Tengah, di sini, jam 3 petang semalam.

Dalam kejadian itu, lelaki berusia 31 tahun berkenaan dikesan menunggang motosikal di Jalan Besar dalam keadaan mencurigakan sebelum ditahan polis di hadapan sebuah kedai di situ.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, ketika pemeriksaan dilakukan pada tubuh suspek tiada barang salah ditemui padanya.

Beliau berkata, namun ketika pemeriksaan dilakukan pada motosikalnya, polis menemui satu bungkusan kertas berwarna coklat yang mengandungi dua paket plastik.

"Kedua-duanya mengandungi ketulan dan serbuk disyaki dadah jenis heroin dengan anggaran berat 113.24 gram.

"Polis juga menemui satu paket plastik lutsinar berisi hablur disyaki dadah jenis Methamphetamine dengan anggaran berat 12.74 gram. Semuanya dianggarkan bernilai semua dadah bernilai RM2,903," katanya, hari ini.

Nik Ros Azhan berkata, suspek yang beralamat di Taman Hj Mohd Amin itu mempunyai dua rekod membabitkan jenayah dan dadah.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B (1) , Seksyen 39A (1) dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Berita Harian X