Khamis, 8 Februari 2018 | 8:48pm

Militan tempatan 'berguru' di seberang

KOTA BHARU: Seramai 23 suspek militan Daesh dari Kelantan yang ditahan polis sejak beberapa tahun lalu, dipercayai mendapat latihan di negara jiran termasuk Thailand.

Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Antipengganas (E8) Cawangan Khas, Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata siasatan mendapati mereka mendapat latihan termasuk cara membuat bom daripada rakan pengganas negara jiran.

Bagaimanapun, katanya, Kelantan bukan negeri yang menjadi pusat latihan militan Daesh walaupun ia berdekatan sempadan.

"Polis menahan 23 suspek militan Daesh dalam beberapa operasi di Kelantan sejak 2013.

"Mereka termasuk dua wanita ditahan di beberapa lokasi termasuk Kota Bharu dan Kuala Krai.

"Siasatan polis mendapati mereka mempunyai hubungan rapat dengan suspek militan Daesh dari luar dan dalam negeri termasuk Thailand dan Indonesia.

"Kelantan adalah antara negeri lokasi mereka berkumpul," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Ayub Khan berkata, sebahagian daripada mereka sudah dibebaskan, ada yang didakwa di mahkamah dan ada yang ditahan mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.

Katanya, pihak polis sentiasa memantau aktiviti kumpulan Daesh di negara ini termasuk di negeri sempadan bagi memastikan keselamatan negara ini dan rakyatnya terjamin.

Mengikut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga 28 Mei lalu, Kelantan berada di tempat kelima senarai militan Daesh yang ditangkap.

Perak adalah negeri teratas dengan 39 tangkapan, diikuti Kedah (36), Kuala Lumpur (34) dan Johor (29).

Statistik sama turut menunjukkan lebih 300 suspek militan Daesh ditahan di negara ini sejak 2013, termasuk pelajar dan warga asing.

Sementara itu, sumber berkata, militan Daesh yang ditahan di Kelantan kebanyakan menggunakan 'laluan tikus' menyeberangi sempadan ke negara jiran.

"Ada sebahagiannya menggunakan laluan sah Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin di Rantau Panjang dan menggunakan pasport antarabangsa atau pas sempadan seperti orang biasa.

"Ada yang berpakaian dan berkelakuan macam penduduk tempatan walaupun bukan berasal dari kawasan sempadan.

"Ini antara taktik mereka supaya pihak berkuasa sukar mengesan mereka," katanya.

INFO:

Pecahan Tangkapan Daesh Mengikut Negeri (sehingga 28 Mei 2017)

1. Perak - 39

2. Kedah - 36

3. Kuala Lumpur - 34

4. Johor - 29

5. Kelantan - 23

6. Sabah - 18

7. Selangor - 17

8. Negeri Sembilan - 14

9. Pahang - 13

10. Terengganu - 11

11. Melaka - 7

12. Pulau Pinang - 7

13. Perlis - 6

14. Sarawak - 4

Berita Harian X