Jumaat, 9 Februari 2018 | 2:47pm

7 didakwa culik pengurus syarikat

SHAH ALAM: Tujuh lelaki, termasuk seorang anggota polis bantuan, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menculik seorang pengurus syarikat pengangkutan di Sungai Buloh tahun lalu.

Tertuduh berkenaan ialah S R Jevan, 42; S Surendran, 35; S Mohan, 33; S Prakhas, 34; A K Muniandy, 60; P Uthaya Kumar, 25; dan warga Bangladesh, Barique, 37.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.

Terdahulu, mereka yang antaranya bekerja sebagai polis bantuan, pemandu lori, pengawal keselamatan, peniaga dan buruh binaan, mengangguk faham akan pertuduhan bersama berkenaan.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama seorang lagi tertuduh, didakwa menculik P Pratap, 35, untuk mendapatkan wang tebusan berjumlah RM300,000.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan 1B/8, Bandar Baru Sungai Buloh, jam 9.10 malam, 12 Disember tahun lalu.

Mereka dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 (Akta 365) yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup dan jika dikenakan hukuman penjara, boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Megat Mahathir Megat Tharih Afendi, manakala peguam Dennis Pereira mewakili Jevan, peguam S S Ruben serta P Prakasam mewakili Muniandy, dan K Lavinia mewakili Mohan. Empat lagi tertuduh tidak diwakili peguam.

Tiada sebarang kos ikat jamin ditawarkan pendakwaan kepada semua tertuduh dan Raja Noor Adilla menetapkan sebutan kes pada 13 Mac depan.

Pada 16 Januari lalu, seorang penganggur, K Poonganeswaran, 35, turut didakwa atas kesalahan sama di mahkamah itu.

TUJUH individu yang dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam atas tuduhan menculik seorang lelaki dengan tujuan menuntut wang tebusan sebanyak RM300,000.- Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat
Berita Harian X