Jumaat, 9 Februari 2018 | 8:49pm
KEADAAN lori tangki yang terbalik di Kilometer 5, Jalan Ranau-Tamparuli, Ranau, hari ini. - Foto ihsan bomba

Lori tangki terbalik, pemandu tersepit

RANAU: Seorang pemandu tersepit selepas lori tangki dipandunya terbalik di Kilometer 5, Jalan Ranau-Tamparuli di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 2.55 petang itu, lori yang membawa muatan 10,000 liter diesel dan 10,000 liter petrol itu turut mengalami kebocoran.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Ranau, Jimmy Lagung berkata, mangsa, Abdul Gapur, 40, sedang memandu dari arah Ranau menghala Tamparuli apabila hilang kawalan ketika menuruni bukit.

Katanya, sebaik menerima panggilan jam 2.58 petang, enam anggota diketuai Ketua Operasi, Mastin Suli, serta dua jentera dikerah ke lokasi.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, didapati lori itu terbalik di longkang di bahu kiri jalan manakala mangsa didapati tersepit.

"Pasukan bomba seterusnya bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas dan diberi rawatan awal sebelum dirujuk ke Hospital Ranau," katanya.

Jimmy berkata, tumpahan diesel dan petrol di longkang turut dibersihkan sebelum menamatkan operasi sejam kemudian.

18 dibaca
Berita Harian X