Khamis, 15 Februari 2018 | 6:20pm
KEADAAN rumah yang musnah dalam kebakaran di Kampung Ambar Park Dalam, Tawau. - Foto Abdul Rahemang Taiming
KEADAAN rumah yang musnah dalam kebakaran di Kampung Ambar Park Dalam, Tawau. - Foto Abdul Rahemang Taiming

Tiga rumah papan musnah dalam kebakaran

TAWAU: Tiga rumah didiami kira-kira 20 penghuni daripada tiga keluarga di Kampung Ambar Park Dalam di sini, musnah dalam kebakaran pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.20 pagi itu, tindakan pantas bomba berjaya menyelamatkan lima lagi rumah terletak berdekatan daripada turut musnah.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau, Sharudy Delamin, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 11.28 pagi sebelum tiga jentera dan dua kenderaan utiliti bersama 19 anggota tiba di lokasi kejadian 10 minit kemudian.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, api sedang marak dan sebahagian daripada tiga rumah papan terletak bersebelahan antara satu sama lain itu sudah terbakar.

"Bagaimanapun, bomba dapat mengawal kebakaran daripada merebak ke lima rumah lain sebelum api dipadamkan sepenuhnya setengah jam kemudian," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

KEADAAN rumah yang musnah dalam kebakaran di Kampung Ambar Park Dalam, Tawau. - Foto Abdul Rahemang Taiming
KEADAAN rumah yang musnah dalam kebakaran di Kampung Ambar Park Dalam, Tawau. - Foto Abdul Rahemang Taiming

Sharudy berkata, punca kejadian dan nilai kerugian masih disiasat, namun tiada mangsa dilaporkan cedera berikutan sebahagian penghuni keluar bekerja, manakala selebihnya sempat menyelamatkan diri.

Sementara itu, mangsa kebakaran, Siompo Latangki, 60, berkata suaminya pulang ke rumah untuk makan tengah hari tetapi tidak sempat menikmati hidangan apabila terdengar jeritan penduduk memberitahu rumah jiran terbakar.

"Belum sempat menjamah makanan, rumah pula terbakar. Walaupun sedih kerana semua barangan musnah, saya bersyukur semua ahli keluarga selamat," katanya.

Seorang lagi mangsa, Mansur Sulaiman, 52, berkata kejadian itu adalah kebakaran kali ketiga di kampung berkenaan sejak puluhan tahun lalu tetapi kali pertama membabitkan rumahnya.

"Sebelum ini, pernah berlaku kebakaran (di kampung itu) tetapi tidak sangka kali ini rumah saya pula hangus. Memang sangat sedih tetapi apa boleh buat. Kami menganggap ini takdir dan ketentuan Allah," katanya.

Berita Harian X