Khamis, 15 Februari 2018 | 8:38pm

3 lelaki ditahan terbabit dadah

KUALA LUMPUR: Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Wangsa Maju menahan tiga lelaki tempatan selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan dadah di Taman Sri Rampai, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif, berkata tiga individu berkenaan berusia dari 34 tahun hingga 40 tahun ditahan kira-kira jam 6 petang.

Beliau berkata, pihaknya turut menemui 70 paket plastik disyaki mengandungi dadah jenis heroin, selain sembilan dan dua paket plastik lutsinar, masing-masing mengandungi syabu dan ganja.

Heroin seberat 457.35 gram, (syabu) 117.86 gram, ganja (8.29 gram) ditemui hasil pemeriksaan pada tubuh badan suspek dan di sebuah rumah di Taman Seri Rampai.

"Terdahulu, kita tahan seorang warga tempatan di tepi jalan hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Rampai selepas pemeriksaan pada tubuh badan individu berkenaan menemukan tiga paket plastik lutsinar disyaki dadah jenis heroin dengan berat 5.2 gram.

"Kemudian, suspek membawa pegawai bertugas ke sebuah rumah di Taman seri Rampai. Di situ, kita berjaya menahan dua lelaki tempatan selepas menemui beberapa paket plastik dan beg disyaki mengandungi dadah.

"Turut dirampas wang tunai berjumlah RM108," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, nilai rampasan dadah secara keseluruhan berjumlah RM11,700.

"Mereka disiasat di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Seorang suspek mempunyai empat rekod jenayah tidak dikehendaki ,manakala dua lagi tiada rekod jenayah," katanya sambil berkata ujian air kecing ketiga-tiga suspek juga positif ganja.

Berita Harian X