Khamis, 15 Februari 2018 | 9:16pm

Baru 47 hari...

BUKIT MERTAJAM: Seorang bayi perempuan berusia 47 hari, maut selepas dipercayai akibat didera di Kampung Tok Panjang, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 10.45 pagi itu, bapa mangsa berusia 22 tahun menyedari anak keduanya, Nurul Ain Umairah Muhammad Firdaus, tidak sedarkan diri ketika dalam perjalanan ke hospital, sebelum disahkan meninggal dunia di klinik berdekatan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata bayi berkenaan dilahirkan pada 30 Disember tahun lalu secara normal dengan berat 2.66 kilogram.

"Selepas lahir, Nurul Ain menghidap sakit kuning dan sembuh dalam masa dua minggu. Malam tadi, mangsa hanya minum sedikit susu malam tadi dan enggan minum lagi selepas itu.

"Bayi itu semakin lemah pagi ini dan bapa serta ibunya membawa bayi berkenaan ke sebuah klinik swasta di kawasan Sungai Rambai, di sini," katanya.

Beliau berkata, doktor memberitahu denyutan jantung bayi semakin lemah dan menyuruh bapa bayi itu membawa mangsa ke hospital.

"Dalam perjalanan ke hospital bapa mangsa mendapati anaknya tidak bergerak.

"Dia dan isterinya kemudian membawa bayi berkenaan ke klinik itu semula sebelum doktor mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia," katanya.

Nik Ros Azhan berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Seberang Jaya dan hasil pemeriksaan x-ray mendapati terdapat kesan kecederaan pada bayi berkenaan, termasuk patah tangan kanan, tulang paha patah selain luka dan lebam pada kepala.

"Polis percaya bayi ini didera berdasarkan kecederaan yang dialami. Polis sudah mengambil keterangan ibu bapa bayi berkenaan serta pegawai perubatan terbabit.

"Bapa bayi itu yang bekerja sebagai pemandu lori di sebuah syarikat swasta ditahan bagi membantu siasatan. Dia

akan dibawa ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam esok bagi mendapatkan perintah reman," katanya.

Beliau berkata, bedah siasat ke atas bayi itu akan dibuat di HSJ jam 10 pagi esok bagi mengetahui punca sebenar mangsa meninggal dunia.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Berita Harian X