Isnin, 19 Februari 2018 | 3:05pm

Reman wanita dera amah disambung

BUKIT MERTAJAM: Tempoh reman seorang wanita yang disyaki mendera amahnya, Adelina Lisao, 26, sehingga maut disambung tujuh hari, bermula esok.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, tempoh itu disambung selepas reman ke atas wanita berusia 60 tahun bermula 13 Februari lalu, tamat hari ini.

Pada 12 Februari lalu, polis menahan ibu kepada dua beradik berusia 36 dan 39 tahun yang juga majikan kepada seorang pembantu rumah warga Indonesia yang maut dipercayai didera.

Dalam kejadian 11 Februari lalu, Adelina diselamatkan polis selepas dilaporkan didera majikannya di Taman Kota Permai, Bukit Mertajam, di sini, termasuk dipaksa tidur bersama anjing.

Bagaimanapun, mangsa yang mengalami kecederaan di kepala, muka dan kedua-dua kaki, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ).

Nik Ros Azhan berkata, bedah siasat diketuai oleh Dr Amir Saad Abdul Rahim mendapati mangsa dipercayai diabaikan sehingga kehilangan banyak darah.

"Kita tidak menolak kemungkinan mangsa diabai dan dibiarkan tidak terurus dalam tempoh masa lama, sehingga menyebabkan dia meninggal dunia. Semuanya akan disiasat nanti," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

ANGGOTA polis mengiringi majikan seorang wanita ke Mahkamah Bukit Mertajam, untuk disambung reman atas tuduhan mendera seorang amah sehingga menyebabkan kematian. - Foto Ramdzan Masiam
ANGGOTA polis mengiringi majikan seorang wanita ke Mahkamah Bukit Mertajam, untuk disambung reman atas tuduhan mendera seorang amah sehingga menyebabkan kematian. - Foto Ramdzan Masiam
Berita Harian X