Selasa, 20 Februari 2018 | 6:04pm
ANGGOTA Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Besut berusaha mengeluarkan mangsa Mohd Elias yang maut dalam kemalangan jalan raya berhampiran kilang kelapa sawit di Jalan Tembila-Renek, Besut. - Foto Baharom Bakar

Lelaki maut digilis treler sarat muatan

BESUT: Seorang penunggang motosikal terbunuh apabila digilis treler sarat muatan kelapa sawit di Kampung Tembila-Renek di sini, awal pagi tadi.

Dalam kemalangan jam 1.45 pagi berhampiran kilang pengumpulan sawit, tujuh pegawai serta anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Besut mengambil masa kira-kira setengah jam untuk mengeluarkan lelaki itu yang tersepit di bawah tayar belakang treler terbabit.

Mangsa, Mohd Elias Ripin, 25, dari Kampung Bukit Tanah dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya dengan menaiki motosikal Yamaha LC.

Komander Operasi JBPM Besut, Penolong Penguasa Bomba Mohd Zamri Omar, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada kira-kira jam 1.54 pagi.

"Mangsa cedera parah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Besut oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi, ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Katanya, siasatan awal mendapati treler itu dalam perjalanan selepas mengisi kelapa sawit untuk dihantar ke Kuala Krai, Kelantan.

"Sebaik keluar dari kilang, dipercayai secara tiba-tiba bahagian belakang treler bergesel dengan motosikal terbabit menyebabkan mangsa digilis tayar kenderaan berat itu.

"Siasatan lanjut masih dijalankan dan pemandu treler berusia 53 tahun berasal dari Kampung Bukit Tanah, Jertih, Besut ditahan untuk proses ujian air kencing," katanya.

Berita Harian X